Thursday, February 12, 2009

USAHA-USAHA KREATIF DAN INOVATIF DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN FIZIK

1.0 PENDAHULUAN
Satu dari teras utama misi nasional dalam RMK ke 9 adalah untuk meningkat keupayaan pengetahuan dan inovasi bagi memupuk warganegara yang mempunyai ‘minda kelas pertama’. Perkara ini hanya dapat dicapai melalui satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Dengan ini adalah menjadi hasrat utama KPM supaya sistem pendidikan di negara ini adalah berkesan dan berkualiti serta mampu bersaing diperingkat antarabangsa. Bagi merealisasikan misi ini, guru yang kreatif dan inovatif sahaja yang mampu memainkan peranan utama sebagai agen pelaksana di peringkat sekolah. Dengan ini para guru mestilah kreatif dan inovatif bagi melakukan perubahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Gaya pembelajaran guru yang membosankan, lesu dan tidak menarik menyebabkan pelajar melakukan perbagai masalah semasa P&P seperti tidur, ponteng kelas, tidak menurut arahan , memberontak dan tidak menumpukan perhatian terhadap pelajar yang di ajar. Oleh itu, gaya pengajaran guru dari “pendita diatas pentas” perlu berubah kepada “pemudahcara ditepi gelanggang”. Pendekatan P&P guru dari “chalk and talk” perlu berubah kepada pendekatan yang mampu menjadikan pelajar mengalami pembelajaran aktif. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan perlu berubah kepada guru sebagai fasilitator yang memandu pelajar kearah mendapatkan pengetahuan. Stail pengajaran guru yang keras menyebabkan pelajar takut mendekati guru perlu berubah kepada stail pengajaran yang “caring”, lembut tetapi tegas. Penggunaan papan hitam sahaja semasa P&P perlu berubah kepada pembelajaran secara “hands on” berbantukan bahan bantu mengajar dan ICT. Kaedah penilaian P&P pada masa-masa tertentu sahaja di ubah kepada sistem penilaian sepanjang masa dan menilai semasa proses P&P berlansung.
Dalam perbincangan ini saya akan menjelaskan bagaimana saya sebagai seorang pendidik yang kreatif dan inovatif mampu melakukan perubahan-perubahan semasa menjalankan proses P&P di SM Sains Machang dalam matapelajaran Fizik. Visi dan misi saya adalah untuk menjadikan para pelajar saya mampu mengaplikasikan semua konsep dan pengetahuan Fizik yang dipelajarinya demi memenuhi hasrat negara iaitu menjadi modal insan kelas pertama apabila dewasa kelak.



1.1 Definisi Konsep
Pendidik menurut Kamus Dewan adalah orang yang menjaga, melatih, memelihara, membimbing dan mengajar perkara yang baik-baik. Dalam konteks P&P, pendidik adalah guru yang mengajar dalam bilik darjah. Pada masa kini, peranan guru bukan sahaja mendidik, mengajar atau mengasuh malahan guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Lebih mencabar lagi, guru dianggap jurutera bangsa, arkitek negara. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi (Mohd Farid Alias-Utusan Malaysia,Oktober 2008).
Kreatif didefinisikan oleh kamus dewan sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Menurut laman web http://www.geocities.com/gardner02 pula, Dr Edward de Bono mendefinisikan kreatif dan kreativiti sebagai ‘At the simplest level “creative” means bringing into being something that was not there before’. ‘Creative thinking includes personel process, as such as new ways of looking at things, new ways of organizing things and new ideas about ideas’. Inovatif mengikut kamus dewan adalah merupakan sesuatu yang bersifat inovasi. Manakala inovasi pula diterjemahkan sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan seperti kaedah, sistem atau adat yang baru.
Perubahan bermaksud penukaran atau kelainan dari yang sedia ada. Pengajaran (Yaxley,B.G. (1991) adalah merupakan tindakan yang bertujuan untuk membawa perubahan daripada segi kepercayaan, nilai dan makna. Ringkasnya pengajaran merupakan satu aktiviti penyampaian kemahiran, ilmu pengetahuan sikap dan nilai-nilai yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku, sikap dan kepercayaan pelajar. Menurut Kamus Dewan, pembelajaran pula merupakan proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan ,penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan tidak hanya berlaku dalam bilik darjah sahaja malah ia boleh berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Mengikut Robert Glaser (1962) proses P&P meliputi empat komponen penting iaitu objektif, pengetahuan sedia ada, kaedah P&P dan penilaian.
Sebagai rumusan, bolehlah saya katakan bahawa pendidik yang kreatif dan inovatif yang mampu melakukan perubahan dalam proses P&P adalah membawa maksud pendidik yang mempunyai kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan, untuk menghasilkan sesuatu yang baru dalam proses penyampaian ilmu pengetahuan kepada para pelajarnya.

1.2 Model P&P Berinovatif dan Kreatif
Daripada definisi di atas dan dengan mengambil kira isu-isu semasa dan misi Kementerian Pelajaran, saya telah membina satu model yang saya namakan MODEL P&P INOVATIF DAN KREATIF (MPPIK) seperti Rajah 1. Mengikut model ini, pelajar-pelajar akan diajar dan di bimbing oleh guru bagi menjayakan proses P & P supaya hasilnya mencapai tahap piawai yang dikehendaki oleh Petunjuk Prestasi. Model ini saya anggap sebagai satu generator yang berupaya menjanakan peranan guru dengan lebih berkesan dan hasilnya pelajar yang akan menjadi insan cemerlang minda kelas pertama.
Pelajar yang menjalani proses P&P yang terancang yang berpusatkan pelajar akan menyebabkan P&P berlaku dalam suasana aktif dan seronok sehingga mencapai satu piawai yang menunjukkan P&P berkesan. Pelajar yang memenuhi piawai Petunjuk Prestasi ini merupakan modal insan yang dihasilkan oleh proses P&P itu . Dalam penulisan ini saya akan membincangkan apakah inovasi dan kreativiti yang saya telah buat supaya P&P yang dilaksanakan meningkat keberkesanannya. Sekarang ini masih ramai guru di sekolah ini yang masih menggunakan kaedah konvensional (chalk and talk) semasa P & P. Pada pendapat saya jika semua guru di sekolah ini menggunakan konsep model MODEL P&P INOVATIF DAN KREATIF ini dalam P&P masing-masing, saya yakin, pelajar yang dihasilkan akan meningkat dari segi kecemerlangan, ketrampilan, kemahiran dan berperibadi mulia. Buktinya dari keputusan peperiksaan SPM yang semakin meningkat pencapaiannya di sekolah saya seperti dalam Jadual 1.
Pencapaian semasa Fizik SM SAINS MACHANG SPM 2003 hingga 2007.
SPM
2003 126
83.44 16
10.6 6
3.97 1
0.66 2
1.32 0
0 0
0 0
0 0
0 0
0 151 151
100% 1.26
SPM
2004 35
25% 27
19% 32
23% 24
17% 19
13% 4
3% 3
2% 0
0% 0
0% 0
0% 141 141
100% 2.84
SPM
2005 37
28% 26
19% 31
23% 23
17% 12
9% 5
4% 0
0% 0
0% 0
0% 0
0% 134 134
100% 2.72
SPM
2006 50
31.65 37
23.42 34
21.52 26
16.46 9
5.70 2
1.27 0
0% 0
0% 0
0% 0
0% 158 158
100% 2.45
SPM
2007 51
37.5% 30
22.% 26
19.1%% 20
14.7% 4
2.94% 3
2.21% 2
1.47% 0
0% 0
0% 0
0% 136 136
100% 2.36

Jadual1


2.0 PERUBAHAN KREATIF DAN INOVATIF DALAM P&P YANG DIBUAT DI SEKOLAH MENENGAH
SAINS MACHANG, KELANTAN.

2.1 Kreatif dan Inovatif Dalam Pendekatan P&P
Keberkesanan sesuatu P&P itu bergantung kepada pendekatan yang digunakan. Ini disokong oleh Arif Sukardi (1987) yang menyatakan pendekatan pembelajaran memainkan peranan yang penting kepada guru dan murid kerana menerusi pendekatan ini guru akan memahami proses pembelajaran yang berlaku di dalam diri pelajar, memahami faktor yang mempengaruhi dan mempercepatkan pembelajaran para pelajar. Guru juga akan dapat membuat ramalan tepat tentang hasil dari proses P&P.
Antara pendekatan P&P yang saya gunakan semasa P&P Fizik di bilik darjah adalah konstruktivisma, pembelajaran masteri, inkuiri penemuan, pembelajaran kontekstual , kajian lapangan, analogi dan modul GLAP. Kesemua pendekatan ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pelajar mengambil bahagian yang aktif dan berpusatkan pelajar semasa proses P&P berlaku dan menekan pembelajaran berfikrah.

2.11 Pendekatan Konstruktivisme

Pendekatan konstruktivisme merupakan satu pendekatan yang sering saya gunakan semasa proses P&P. Sebagai contohnya dalam mengajar tajuk daya graviti saya menggunakan Model Konstruktivisme 5 Fasa Needham. Needham (1987) menyatakan model ini mengandungi 5 fasa iaitu fasa orientasi (engage) , fasa pencetusan idea (explore), fasa penstrukturan semula idea (explain), fasa aplikasi idea (elaborate) dan fasa refleksi(evaluate). Dalam fasa pertama saya menayangkan tayangan dari CD peristiwa sebiji kelapa terlepas dari tangkainya, seketul batu jatuh dari puncak bukit, gerakan bulu ayam yang sedang jatuh dan gerakan seorang penerjun terjun turun dari sebuah kapalterbang. Aktiviti ini adalah untuk meransang perasaan ingin tahu pelajar tentang objek jatuh. Dalam fasa kedua pelajar di beri beberapa persoalan bertulis. Kemudian pelajar dipecahkan kedalam enam kumpulan dan diminta melakukan satu eksperimen untuk menentukan nilai pecutan graviti objek yang jatuh. Hasil dapatan aktiviti ini akan dapat menentukan adakah pengetahuan sedia ada mereka selari dengan dapatan eksperimen. Dalam Fasa ketiga saya meminta pelajar membuat pembentangan dapatan eksperimen menggunakan perisian powerpoint. Fasa ini bertujuan supaya para pelajar berani menyampaikan hasil dapatan mereka dan bekerjasama untuk mendapat sesuatu keputusan. Dalam fasa keempat saya menayangkan satu eksperimen maya iaitu ” Graviti experiment by Galileo’ dan gerakan lif yang putus. Aktiviti ini bertujuan untuk menentukan bahawa pengetahuan tentang graviti dapat diaplikasikan dalam situasi baru seperti dalam tayangan tadi. Disini pelajar akan menggunakan kefahaman mereka untuk menmbuat penjelasan tentang graviti. Dalam Fasa kelima saya membuat kuiz pendek untuk mengukuhkan kefahaman mereka. Pendekatan konstruktivisme di atas disokong oleh Britner,M.,(1999) menyatakan dalam pendekatan konstruktivisma pelajar sendiri membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengalaman sedia ada, mengaplikasikanya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperolehi dengan membina intelektual yang ada.

2.12 Penggunaan Analogi semasa P&P
Analogi adalah satu kaedah untuk membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep asas Fizik secara mengaitkan konsep itu dengan satu konsep lain yang serupa. Dalam pengajaran menggunakan analogi ini saya menggunakan model TWA (teaching with analogies) oleh Glynnn, Duit and Thiele (1995). Dalam model ini ciri-ciri dari konsep analog dibandingkan dengan ciri-ciri konsep sasaran . Jika terdapat beberapa ciri yang serupa maka analogi dapat dibuat. Sebagai contohnya dalam proses P&P tajuk keelektrikan saya menggunakan 6 langkah bagi memandu pelajar menghasilkan analogi . Langkah pertama adalah pelajar diminta mengenalpasti konsep sasaran contohnya litar elektrik. Langkah kedua ialah pelajar diminta mengenalpasti konsep analog contohnya litar air. Langkah ketiga ialah pelajar dibimbing untuk mengenalpasti ciri-ciri yang relevan antara kedua-dua konsep sasaran dan analog tadi. Langkah kelima ialah pelajar dipandu untuk memadankan kesamaan antara kedua-dua konsep. Langkah keenam ialah pelajar diminta untuk mengenalpasti tahap atau keadaan antara kedua-dua konsep itu yang bercanggah. Akhir sekali pelajar diminta membuat rumusan tentang analogi yang telah dibuat iaitu litar air di sepadankan dengan litar elektrik, aliran air dianggap sebagai arus, paip sebagai dawai, pam sebagai sel kering, tekanan sebagai voltan, penapis sebagai perintang dan halangan aliran air sebagai rintangan.


2.13 Penggunaan modul GLAP
Dengan menggunakan pengalaman mengajar selama 25 tahun saya telah menghasilkan sebuah modul P&P yang dinamakan module Guided Learning Approach Physics (GLAP). Modul ini di buat secara topikal dan mengandungi peta konsep, objektif P&P, aktiviti-aktiviti terarah, eksperimen, penyelesaian masalah terpandu dan latihan pengukuhan. Modul ini dibuat berdasarkan aras kesukaran mudah kepada kompleks. Semua pelajar dibekalkan dengan modul tersebut dan digunakan setiap kali semasa P&P. Dalam modul ada ruang-ruang kosong yang menghendakki pelajar mengisinya sebelum, semasa dan selepas P&P berlaku. Oleh itu para pelajar menggunakan modul ini sebagai persediaan sebelum P&P berlangsung. Dengan ini kaedah belajar sebelum diajar dapat di amalkan.
Sebagai rumusannya ketiga-tiga pendekatan yang dibincangkan di atas dapat menjadikan para pelajar lebih berdikari dan aktif semasa P&P. Para pelajar dapat mencipta dan mengaplikasikan pengetahuan sedia ada mereka dengan baik. Mereka mampu membudayakan belajar sepanjang hayat tanpa guru dan berfikir secara imaginatif sesuai dengan pengajaran menggunakan analogi tadi. Saya hanya menjadi fasilitator dan pengendali semasa P&P sahaja. Impaknya yang paling besar ialah lahirnya guru-guru muda dikalangan para pelajar yang mampu untuk mengendalikan sesi P&P sesama sendiri. Guru muda yang dilahirkan itu meneruskan proses P&P sesama rakan sebaya diluar pembelajaran formal atau semasa ketiadaan guru dalam bilik darjah.

2.2 Kreatif dan Inovatif Dalam Penghasilan Bahan Bantu Belajar
Bahan bantu belajar adalah elemen penting dalam membantu guru semasa proses P&P. Dengan ini guru mestilah mampu membina sendiri bahan bantu ini supaya P&P lebih menarik minat para pelajar. Pelajar akan seronok belajar jika guru menggunakan bahan bantu belajar yang menarik seperti simulasi berkomputer, gambar animasi, model yang menarik, bahan atau gambar yang diakses daripada Internet. Dalam tajuk leraian daya saya telah membina satu model yang diberi nama Resolving force Learning Aids (REFLA). Leraian daya adalah tajuk yang sukar bagi para pelajar. Bahan bantu belajar ini dapat menolong pelajar membuat leraian daya dengan lebih mudah, dapat menentukan magnitud komponen daya yang terlibat dan dapat menyelesaikan masalah berkaitan leraian vektor lain selain daya.REFLA dibina dari plastik atau kertas kadbod keras. Bahan binaannya adalah murah dan boleh digunakan bahan-bahan terbuang. Bagi menggunakan REFLA, pelajar pada mulanya menentukan dulu daya paduan yang hendak dileraikan. REFLA itu kemudinanya akan diletakkan diatas daya paduan tersebut. Kemudian surihkan daya paduan dan komponen-komponennya mengikut REFLA tadi. Gerakkan komponen tegak REFLA sehingga terhasilnya sebuah segitiga. Dengan menggunakan kaedah trigonometri, komponen daya paduan tadi dapat ditentukan. Dari kajian yang dibuat tentang penggunaan REFLA ini didapati majoriti pelajar menyatakan penggunaan alat ini amat mudah, menjimatkan masa dan menyeronokkan. Alat ini dapat menjadikan bahagian yang kompleks dalam leraian daya menjadi begitu mudah dan dapat divisualkan. Ini menimbulkan minat, yakin dan seronok dalam matapelajaran Fizik dikalangan pelajar.
Saya juga menggunakan animasi komputer yang diselitkan dengan muzik dan langkah ini berjaya menarik minat pelajar. Saya telah membuat satu kajian di sekolah saya mengenai kemahiran melukis rajah sinar bagi kanta cembung dan kanta cekung dikalangan pelajar saya. Bilangan responden yang terlibat ialah 40 orang.Saya menggunakan dua kaedah pengajaran iaitu kaedah konvensional dan kaedah P & P menggunakan animasi komputer. Hasil kajian mendapati purata markah pelajar yang diajar secara kaedah konvensional ialah 53 manakala yang diajar menggunakan simulasi komputer ialah 74 iaitu menunjukkan perbezaan purata markah sebanyak 21 markah. Berdasarkan data yang diperolehi jelas menunjukkan pengajaran menggunakan kaedah animasi komputer boleh meningkatkan kemahiran pelajar untuk melukis rajah sinar kanta dibandingkan dengan kaedah konvensional.
Berdasarkan dapatan kajian yang telah dibuat didapati pencapaian pelajar pelajar perempuan lebih tinggi bila digunakan kadeah konvensional berbanding pelajar lelaki. Sabaruddin Ahmad,(2006) menyatakan kajian dari The Gurian Institute mendapati otak pelajar lelaki lebih mudah berubah ke dalam keadaan rehat atau hilang tumpuan berbanding pelajar perempuan. Bagi mengatasi masalah ini saya banyak menggunakan teknik ’hands-on’. Oleh itu saya banyak menggunakan alat bantu mengajar seperti komputer, video,cakera padat, lawatan, kerja lapangan atau apa-apa sahaja teknologi sesuai untuk perkembangan minda pelajar. Sebagai contohnya dalam pengajaran Prinsip Bernoulli, pelajar dibawa melawat ke lapangan terbang untuk melihat bilik kawalannya dan simulator yang jelas dapat mengaitkan kegunaan Prinsip Bernoulli dengan kapalterbang. Selain itu aplikasi Prinsip keabadian momentum juga boleh dilihat dengan jelas pada proses pelancaran roket yang boleh didapati apabila pelajar mengakses internet.
Dalam dunia hari ini, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak membantu kerana guru boleh menyediakan dan mendapatkan berbagai bahan P&P terbaru dan mengubahnya untuk disesuaikan dengan nilai dan minda pelajar. Dalam pengajaran Fizik saya mendapati ICT banyak membantu dalam proses membuat eksperimen. Sebelum ini setiap eksperimen yang dibuat oleh guru dan pelajar hanya boleh dilakukan dalam makmal sahaja dan tidak boleh diulang. Oleh itu semasa sesi ulangkaji guru hanya mengarahkan pelajarnya mengingati semula tentang eksperimen tersebut. Dengan bantuan ICT , kaedah menjalankan eksperimen dan hasil kajian dirakam dengan menggunakan kamera digital dan disimpan untuk sesi ulangkaji. Dengan cara begini proses menjalankan eksperimen dan hasilnya boleh dilihat secara visual berulangkali. Selain itu bagi eksperimen yang sukar untuk dilakukan dalam makmal kerana terlalu banyak ralat, saya mengambil tindakan mempamerkan animasi komputer untuk eksperimen yang dilakukan dalam keadaan tanpa ralat dan menghasilkan keputusan yang lebih jitu. Misalnya bagi eksperimen prinsip Archimedes , nilai daya tujah sama dengan perbezaan berat objek dalam air dan udara dapat ditunjukkan dengan tepat. Saya dapati kaedah ini sangat membantu kerana pelajar boleh memahami sesuatu konsep melalui pembelajaran secara konkrit. Kajian oleh Computer Technology Research (1993) mendapati pelajar dapat menyimpan 80% maklumat apabila mereka membuat, mendengar dan melihat. Saya juga telah menghasilkan satu laman blog yang beralamat http://burhan–cikgubob.blogspot.com . Dalam laman blog saya ini saya masukkan bahan-bahan P&P Fizik. Modul juga dimasukkan kedalam laman blog ini. Para pelajar dapat mengakses laman ini pada bila-bila masa yang diperlukan. Dalam musim cuti persekolahan kerja rumah para pelajar saya masukkan dalam laman blog saya. Pelajar diminta mengaksesnya untuk mendapatkan soalan-soalan latihan kerja rumah terancang sepanjang cuti persekolahan. Kaedah belajar Fizik, nota ringkas dan strategi untuk skor Fizik juga saya muatkan dalam laman blog tersebut. Pelajar juga boleh berinteraktif dan berkomunikasi melalui laman blog saya itu. Ini akan menyebabkan segala permasalahan pelajar tentang Fizik dapat diselesaikan walaupun mereka tidak berada dalam bilik darjah.
Sebagai rumusannya penggunaan bahan bantu mengajar samada yang dibuat sendiri atau bahan bantu belajar berbantukan ICT memang banyak membantu pelajar dalam menjelaskan perkara-perkara yang abstrak supaya menjadi lebih maujud. Selain dari memudahkan proses P&P berlaku bahan-bahan ini ini juga boleh menimbulkan rasa minat dan seronok belajar Fizik di kalangan para pelajar. Impaknya kepada pelajar ialah mereka sanggup membina sendiri bahan-bahan bantu ini bila diberi peluang, ruang dan masa. Sebagai contohnya pelajar saya telah berjaya menghasilkan satu set lengkap persembahan animasi bagi setiap tajuk menggunakan perisian Powerpoint atau autocad. Setiap pelajar kemudiannya di bekalkan sekeping seorang CD yang mengandungi bahan persembahan powerpoint tadi. Dengan itu para pelajar boleh membuat rujukan atau mengulangkaji sendiri tajuk-tajuk yang beliau ingin ulangkaji pada bila-bila masa yang dikehendakki. CD yang dihasilkan itu sekarang dalam proses untuk dijadikan bahan komersial dan akan dijual dipasaran terbuka.

2.3 Kreatif dan Inovatif Dalam Penilaian P&P
Proses penilaian adalah juga merupakan satu komponen utama dalam proses P&P. Penilaian yang saya buat di dalam bilik darjah meliputi penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif adalah penilaian yang dilakukan berterusan dalam proses P&P yang dapat memberi maklumbalas terhadap hasil pembelajaran yang dikuasai. Dengan ini guru dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang pelajar dan dapat mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Penilaian berbentuk sumatif pula dilakukan pada akhir semester tahun atau akhir tahun bertujuan untuk membezakan pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar lain serta seringkali digunakan untuk membuat pemilihan kelas.
Sebagai seorang guru yang kreatif, saya juga telah mempelbagaikan teknik penilaian terhadap pelajar. Antaranya ialah ‘Current Test’(CT), Oral Test’, soal jawab lisan didalam kelas, ‘Viva’ semasa menjalankan eksperimen dan penggunaan mini white board (MWB)‘Current Test’ adalah merupakan ujian yang diberi pada akhir sesi P&P. Ia hanya mengambil masa 10 minit sahaja dimana soalan-soalan yang dikemukakan adalah melibatkan konsep asas dalam Fizik. Markah yang diperolehi akan dikumpulkan dan dimasukkan sebanyak 10 peratus dalam peperiksaan akhir tahun. Dengan adanya ujian seperti ini, saya dapati pelajar lebih menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar kerana mereka sentiasa akan diuji pada akhir sessi P&P. Dapatan dari keputusan current test ini juga dapat saya jadikan panduan untuk mengetahui jumlah pelajar yang telah mencapai objektif P&P pada hari tersebut. Ini memudahkan saya membuat tindak ikut seterusnya kepada pelajar yang tidak mencapai objektif P&P pada hari tersebut seperti dalam lingkaran pembelajaran masteri. Dengan adanya
Berdasarkan kajian tindakan saya yang dibuat saya mendapati terdapat para pelajar yang tidak mampu menerangkan sesuatu konsep Fizik itu secara lisan. Maka dengan itu saya memperkenalkan ‘Physics Oral Test’ (POT). Ujian ini merupakan ujian secara lisan yang juga melibatkan konsep asas serta rumus-rumus didalam Fizik. Ujian ini hanyalah diperuntukkan kepada pelajar lemah yang masih tidak dapat menguasai konsep asas. Saya menjalankan ujian ini selama 10 minit sahaja bagi setiap individu pelajar diluar waktu P&P atau semasa waktu rehat hari persekolahan . Setiap pelajar terpilih dimaklumkan satu hari sebelum ujian ini di buat. Modul POT saya gunakan untuk menjalankan aktiviti ini. Hasil daripada ujian ini, saya dapati pelajar lemah akan lebih berusaha dengan gigih dan sering bertanyakan soalan kepada saya untuk memahami sesuatu konsep. Ini juga satu dari tuntutan pembelajaran masteri.
Penilaian semasa P&P juga saya buat melalui penyoalan secara lisan didalam kelas sepanjang proses P&P berjalan. Sebagai guru yang kreatif, saya sering mengemukakan soalan-soalan secara lisan semasa mengajar. Fokus utama saya ialah pelajar yang leka, tidak memberi tumpuan atau pelajar yang mengantuk. Dengan kaedah ini juga, saya dapati pelajar akan menumpukan sepenuh perhatian supaya mereka dapat menjawab soalan yang ditujukan dengan baik.
‘Viva’ adalah bentuk penilaian semasa pelajar menjalankan eksperimen. Ini bertujuan untuk memfokuskan pelajar tentang objektif eksperimen, prosedur, kaedah pengambilan data, penjadualan data, menganalisis data serta langkah berjaga-jaga sepanjang eksperimen dilakukan. Dengan adanya penilaian seperti ini, saya dapati pelajar lebih bersedia dan lebih berkeyakinan dalam menjalankan sesuatu eksperimen. Disamping itu juga, pelajar lebih aktif dan wujudnya interaksi yang baik dan berkesan sesama pelajar.
Satu lagi usaha kreatif dan inovatif yang saya buat ialah dengan menggunakan penilaian menggunakan Mini White Board (MWB). MWB ini dibuat sendiri dengan menggunakan formika putih. Setiap pelajar akan dibekalkan MWB ini semasa proses P&P berlaku. Langkah menggunakan MWB ini adalah guru akan mengemukakan soalan dan pelajar dikehendakki menulis jawapan mereka diatas MWB ini. Penggunaaan MWB ini akan dapat memberi peluang kepada setiap pelajar memberikan jawapan masing-masing dan juga mengelakkan pelajar menjawab secara beramai-ramai. Pelajar juga tidak akan berkesempatan untuk meniru jawapan orang lain kerana mereka diminta untuk mengangkat MWB ini serentak selepas selesai menulis jawapannya.
Sebagai rumusannya kesemua langkah dalam penilaian yang dibuat ini dapat memberi kesedaran kepada para pelajar bahawa mereka kena sentiasa bersedia pada bila-bila masa sahaja. Impaknya ialah pelajar sentiasa mengemaskini kandungan dan pengetahuan Fizik mereka setiap hari. Kebanyakan pelajar yang telah menjalani POT telah berjaya menerangkan sesuatu konsep Fizik secara lisan . Satu kesan yang sangat positif adalah 30 % pelajar lemah telah berjaya menjadi pembimbing rakan sebaya dalam matapelajaran Fizik. Tahap keyakinan mereka dalam subjek Fizik telah meningkat dengan begitu ketara sekali.

2.4 Kreatif dan Inovatif Dalam Ko Akademik
Sebagai guru cemerlang Fizik, saya sentiasa berusaha mencari idea-idea baru untuk merangsang minat pelajar memandangkan mata pelajaran Fizik merupakan mata pelajaran yang agak sukar untuk difahami. Perkara ini dapat dilakukan melalui aktiviti ko akademik. Antara inovatif dan kreativiti yang saya lakukan dalam ko-akademik adalah rekreasi Fizik , kaedah mengingat Fizik dan pertandingan kuiz.
2.4.1 Rekreasi Fizik
Oleh kerana para pelajar terdiri dari pelbagai latarbelakang dan mempunyai minat yang berbagai maka kaedah P&P juga mestilah pelbagai. Menurut Howard Gardner (1983) yang mengemukakan teori “multiple intelligence” kecerdasan pelajar ini dapat dipecahkan kepada lapan jenis iaitu linguistic Intelligence, logical mathematic ,spatial intelligence, bodily kinestatik intelligence,musical intelligence, interpersonal intelligence, intrapersonal intelligence dan naturalistic intelligence. Berasaskan kepada kepelbagaian kecerdasan inilah maka saya telah mencipta rekreasi Fizik ini. Aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam rekreasi fizik ini adalah ‘teka silangkata’ (crossword puzzle), ‘mencari perkataan dalam Fizik ‘( word search in physics), lagu Fizik, sajak Fizik dan pantun Fizik.
Kepada pelajar yang cenderung dalam bidang muzik dan kesenian, saya menyarankan aktiviti mencipta lagu, sajak atau puisi yang berasaskan konsep Fizik. Setakat ini tiga buah lagu yang popular dikalangan pelajar yang telah dicipta iatu tindakbalas nuklear , kebuk kabus dan kesan rumah hijau. Lirik lagu ini dicipta oleh pelajar manakala melodinya diambil dari lagu-lagu yang popular masakini. Senikata lagu-lagu tersebut adalah berdasarkan kandungan tajuk keradioaktifan. Untuk menyanyikan lagu ini pelajar perlu menggunakan CD minus one yang boleh didapati dikedai-kedai muzik. Setakat ini juga sebanyak 20 rangkap pantun telah direka oleh para pelajar dan sebahagiannya juga telah di letakkan di dalam laman blog saya.
Selain dari itu juga, saya sering membuat aktiviti berbentuk permainan seperti ‘teka silangkata’ (crossword puzzle) dan ‘mencari perkataan dalam Fizik‘ ( word search in physics). Aktiviti-aktiviti dari teka silangkata dan mencari perkataan Fizik ini sememangnya lebih menarik minat pelajar dan lebih menyeronokkan. Aktiviti ini juga dapat mengasah minda dan memantapkan kefahaman pelajar dalam Fizik.
Dalam matapelajaran Fizik, terlalu banyak fakta, prinsip,konsep, rumus serta hukum yang perlu dihafal dan diingat. Sebagai contoh saya telah memperkenalkan beberapa kaedah mengingat dalam konsep Fizik. Saya menggunakan tiga cara untuk mencipta kaedah mengingat ini. Kaedah pertama ialah kaedah akronim iatu yang menggunakan singkatan huruf pertama sesuatu perkataan. Kaeadah kedua ialah kaedah cerita di mana pelajar mereka cerita tertentu yang relevan supaya mereka dapat mengingati sesuatu fakta itu dengan lebih mudah lagi. Kranya ialah ‘LoVe HandPhone’ yang membawa maksud ‘Lo’-Low, Ve’-Velocity, ‘ Hand’- High dan ‘Phone’-Pressure yang menerangkan Prinsip Bernoulli iaitu apabila halaju bendalir berkurang(low velocity) maka tekanannya bertambah(high pressure).Antara lainnya ialah ‘Maxis’ -Manipulated variable at x axis yang bermaksud apabila memplot suatu graf, pembolehubah manipulasi mestilah berada pada paksi x graf. Contoh lain adalah RTM ICU Sx Sg iaitu satu kaedah untuk mengingati ahli keluarga gelombang elektromagnet. Masa yang diambil oleh pelajar bagi mengingati fakta Fizik menggunakan cara ini adalah amat singkat. Dengan adanya kaedah-kaedah baru ini, pelajar dapat mengingat sesuatu konsep atau prinsip dengan mudah sekaligus dapat meningkatkan keinginan pelajar untuk belajar.
Antara aktiviti yang telah saya jalankan ialah pertandingan kuiz antara kumpulan. Sebahagian kecil pelajar dilantik untuk mengendalikan kuiz ini, manakala yang selebihnya merupakan peserta. Dalam aktiviti seperti ini, saya dapat melatih pelajar dalam mengendalikan sesuatu aktiviti diperingkat kelas disamping mewujudkan interaksi yang baik dikalangan pelajar. Diakhir aktiviti pula, saya menyediakan hadiah berbentuk buku-buku latihan atau alat tulis kepada pelajar sebagai menghargai sumbangan mereka dalam aktiviti tersebut. Kuiz Sesaat pula merupakan proses penilaian yang berlaku diluar kelas. Ianya dijalankan pada waktu perhimpunan setiap pagi Isnin selama 10 ke 15 minit sahaja. Dua soalan mudah dikemukakan kepada semua pelajar dan hadiah berupa buku-buku nota akan diberi sebagai ganjaran kepada pelajar yang berjaya menjawab.Kaedah ini dapat melahirkan pelajar yang berani serta berkeyakinan untuk menjawab soalan di khalayak ramai.
Kesimpulannya, disini, saya amat menekankan konsep teori kecerdasan pelbagai (multiple intellingence) dimana sesetengah pelajar dapat menjana idea mengikut cara mereka sendiri. Dengan aktiviti yang pelbagai ini, pelajar akan lebih aktif untuk menonjolkan bakat masing-masing sekaligus mewujudkan suasana P&P yang menarik dan menyeronokkan. Pelajar juga akan lebih berminat untuk menghadiri kelas saya walaupun tanggapan awal mereka matapelajaran Fizik merupakan matapelajaran yang sukar difahami


2.5 Kreatif dan Inovatif Dalam Pengurusan Bilik Darjah Dan Makmal.
Di dalam bilik darjah, selain mengajar saya juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus pelajar-pelajar supaya menjalankan tugas mereka seperti membersihkan kelas dan menyusun kerusi meja, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti P&P, mengurus bahan-bahan P&P supaya dapat digunakan dengan lebih efisien dan mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan secara teratur. Aktiviti-aktiviti yang biasa dijalankan dalam sudut atau ruang pembelajaran adalah aktiviti-aktiviti pengayaan dan pemulihan, aktiviti sokongan, aktiviti bacaan tambahan, perbincangan dan aktiviti bercerita. Di samping itu juga ruang-ruang pembelajaran digunakan juga untuk mempamerkan bahan-bahan pelajaran dan hasil kerja murid-murid. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan P&P. Dalam kerja pengurusan sudut dan ruang pembelajaran, saya memastikan bahawa sudut dan ruang itu adalah dikelolakan dalam keadaan yang kemas dan teratur serta dilengkapkan dengan bahan-bahan pelajaran yang sesuai digunakan oleh pelajar-pelajar yang menjalankan aktiviti pembelajaran. Kedudukan kerusi meja, rak-rak buku dan almari yang ada di dalam bilik darjah perlulah disusun dengan kemas. Peranan saya sebagai pengurus bilik darjah adalah berasaskan elemen-elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah dan mengawal. Ini bermakna saya sebagai pengurus bilik darjah memainkan peranan sebagai perancang, pengelola, pengarah dan pengawal. Justeru itu untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan, guru hendaklah memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha menguasai kemahiran-kemahirannya
Bilik darjah mesti mempunyai semua kemudahan asas seperti papan hitam papan kenyataan, ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan pelajar serta almari. Bilik darjah perlu dibekalkan dengan kipas angin dan kemudahan elektrik serta pintu dan tingkap sesuai dengan bilangan pelajar yang berada dalam kelas tersebut. Tingkap bilik darjah perlu dibuka bagi mendapat udara bersih yang mencukupi dan suasana yang nyaman supaya pelajar tidak mengantuk dan mengganggu proses P & P. Susunan meja dalam keadaan kelompok yang berhadapan antara satu sama lain adalah lebih sesuai seperti dalam bentuk bulatan atau separuh bulatan. Susunan begini menggalakkan pelajar untuk berinteraksi dengan semua kawan dalam kumpulan tanpa bergerak dari tempat duduk mereka.
Kebersihan dan keselesaan bilik darjah menunjukkan suasana emosi yang sihat dan bersemangat untuk belajar. Bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar dapat melahirkan suasana yang baik serta membantu pelajar menerima ilmu. Papan kenyataan kelas perlu dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas dan carta organisasi, kata-kata motivasi, sudut mata pelajaran, sudut bacaan dan alamat laman web pendidikan. Bilik darjah dijadikan sebagai sumber maklumat sepatutnya dilengkapi dengan komputer dan LCD yang boleh digunakan oleh pelajar untuk mengembangkan potensi mereka ke arah pembentukan modal insan berkualiti. Mok Soon Ang (2003) menyatakan iklim bilik darjah yang positif dan terbuka akan menggalakkan pelajar berinteraksi dengan bebas dan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti dalam bilik darjah dan guru menjalankan tugas dengan tenteram dan penuh tanggungjawab. Iklim kelas meliputi aspek organisasi kelas, pengawalan pelajar, komunikasi, motivasi dan sikap pelajar. Iklim yang negatif wujud akibat pelajar terlalu ramai, tingkah laku pelajar bermasalah dan suasana bising boleh mengganggu P & P.
Sebagai guru penasihat Persatuan Fizik di sekolah, saya bersama-sama dengan pelajar di bawah persatuan tersebut telah menjalankan aktiviti keceriaan makmal. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah membuat carta, melukis gambarajah,membina huruf-huruf blok untuk membentuk formula-formula fizik seterusnya ditampal didinding-dinding makmal. Ini bukan saja dapat mengasah bakat pelajar dalam aktiviti melukis malahan dapat menceriakan lagi suasana makmal sebagai sebuah pusat pembelajaran. Dengan itu saya juga dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan pelajar.Dalam keadaan tertentu saya ingin pelajar menganggap saya sebagai sahabat yang senang didekati dan juga sebagai tempat untuk mereka menceritakan masalah yang dihadapi. Dengan memiliki peribadi sebegini saya akan dapat menggalakkan pelajar berani menyoal dan aktif dalam proses P&P.
Kesimpulannya sesebuah bilik darjah atau makmal yang kondusif menyebabkan proses P&P berlaku dengan licin, tenang dan tiada gangguan emosi dan fizikal para pelajar. Bilik darjah begini hanya dapat dihasilkan dengan pengurus yang cekap dan dinamik. Impaknya ialah makmak Fizik pernah menjadi juara pertandingan makmal peringkat negeri selam dua tahun berturut-turut.

3.0 PENUTUP
Daripada perbincangan di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa guru sebagai seorang yang kreatif dan inovatif sepatutnya mampu dan sentiasa membuat perubahan dalam proses P&P dalam bilik darjah. Perubahan dalam P&P yang kreatif dan inovatif ini akan menghidupkan lagi suasana pembelajaran dalam bilik darjah supaya menjadi lebih seronok, menarik dan lebih aktif. Perubahan kreatif dan inovatif ini melibatkan perubahan dari segi pendekatan P&P guru iaitu dari pendekatan konvensional (chalk and talk) kepada pelbagai pendekatan baru seperti konstruktivisma, kontekstual,pembelajaran masteri, inkuiri penemuan, kolaboratif, penggunaan analogi dan penggunaan modul pengajaran. Selain dari itu bahan bantu mengajar mestilah terkini dan sesuai dengan zaman sekarang. Penggunaan bahan bantu belajar memudah guru mengajar dan pelajar belajar.Konsep-konsep yang abstrak dalam matapelajaran Fizik akan dapat di visualkan dengan menggunakan bahan bantu belajar dan juga ICT. Animasi komputer banyak juga membantu pelajar dalam menambahkan kefahaman pelajar terutama konsep-konsep yang sukar untuk digambarkan melalui rajah atau eksperimen. Untuk meningkat lagi kefahaman pelajar dalam P&P proses penilaian dalam bilik darjah juga perlu diubah. Penilaian dalam proses P&P seperti pelaksanaan current test , oral test dan penilaian semasa P&P (MWB) membantu pelajar dan guru dalam memenuhi objektif P&P pada hari tersebut. Pelaksanaan P&P boleh juga dibuat diluar bilik darjah seperti dalam aktiviti ko-akademik. Aktiviti seperti teka silangkata, word search dan kuiz dapat mengukuhkan lagi pengetahuan dan kefahaman kualitatif pelajar terhadap matapelajaran Fizik di sekolah saya. Pelaksaan P&P tidak boleh lari dari pengurusan bilik darjah dan makmal yang cekapa dan dinamik. Persekitaran fizikal bilik darjah berperanan sebagai pemangkin untuk P&P berkesan dan pembelajaran aktif.
Pembelajaran aktif yang dihasilkan melalui perubahan-perubahan dalam P&P yang kreatif dan inovatif itu akan mengembangkan potensi pelajar, melengkapkan pelajar dengan berbagai kemahiran, membentuk pelajar dengan ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan negara di mata dunia selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Selain dari itu para pelajar juga akan dapat memajukan diri mereka dengan kemahiran ICT yang tinggi, berkebolehan menggunakan ICT dengan baik, berfikir secara kritis dan kreatif, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, berkemahiran menyelesaikan masalah dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai kefahaman serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah.




Rujukan :

1. Arif Sukardi. 1987.Prinsip-prinsip (teori) Pembelajaran.
http:// www.Ut, Ac Id/OI Supp/Fkip/Pgsm3803/. (20 Dis 2000)
2. Briner, M .(1999). [Online]Available :
http:// carbon.cudender.edu/ mryder/itc data/constructivism.html
3. Needham,R. (1987). ”Teaching Strategies for Developing Understanding in
Science.” Leeds, Children’s Learning in Science Project, University of Leeds.
4. Glynn,S.M & Duit , R. Thiele (1995) Teaching with analogies: A strategy for
constructing knowledge. In S.M. Glynn& R. Duit (eds), Learning science in
the schools: research reforming practice (pp. 247-273). Mahwah, NJ: Erlbaum.
5. Gardner,Howard.(1983) Frames Of Mind: Multiple Intelligences: The theory in
practice. New York: Basic.

1 comment:

asifghani said...

go..go..cikgu bob..
smoga bhgia slalu..hehehe..