SEKOLAH BERKESAN
1.0 Pendahuluan
Hari ini ramai orang bercakap tentang kecemerlangan sekolah. Para ibubapa mahukan anak mereka memperolehi kecemerlangan dalam peperiksaan. Oleh itu mereka akan memilih sekolah untuk menghantar anak-anak mereka. Sekolah yang menjadi rebutan adalah sekolah yang cemerlang yang disebut Sekolah Berkesan. Sekolah Berkesan menurut Peter Mortimore (1996) adalah :
“ a high performing school through its well established system, promotes the highest academic and other achievement for the maximum number of its students regardless of backgrounds of their families”
Di dalam Sekolah Berkesan ‘every child can learn and that we have the knowledge we need to create schools in which child can learn’. Disamping itu ianya merupakan sebuah sekolah di mana pencapaian akademiknya adalah maksimum. Sekolah ini juga merupakan organisasi yang mempunyai tahap “reliability” yang tinggi, matlamat sekolah yang jelas dan eksplisit, ilmu pengurusan yang direkodkan dan prosedur operasi yang standard. Disamping itu sekolah ini merupakan sebuah organisasi yang mempunyai sumber yang memuaskan dan peralatannya tersusun dengan kemas.
2.0 Perbincangan Ciri-ciri Sekolah Berkesan
Peter Mortimore (1995), telah mengemukakan sebelas ciri sekolah berkesan.
Lawrence W. Lezotte (1991), memberikan tujuh ciri Sekolah Berkesan. Berdasarkan kajian dan konsultasi dengan ibubapa, Persatuan Ibu bapa dan Masyarakat di Canberra (ACT Council of Parents & Citizens Assosiation Australia telah mengemukakan sembilan ciri Sekolah Berkesan. Berdasarkan kepada tiga kajian diatas perbincangan akan berdasarkan ciri-ciri yang telah dinyatakan oleh Mortimore.
a) Kepimpinan profesional.
Edmonds (1978) menyatakan “principals can make a difference” yang bermaksud sesebuah sekolah boleh dimajukan dan kemajuan sekolah berpunca dari kepimpinan pengetua. Ciri ini juga menekankan bahawa pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang mengamalkan kepimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan kajian dan penulisan Sekolah Berkesan, Sweeney (1983) telah mengenal pasti enam ciri kepimpinan pengetua yang berkait dengan keberkesanan sekolah. Ciri-ciri itu ialah memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam akademik, menyusun dan menetapkan strategi pengajaran, menyedia dan mengekalkan suasana yang kondusif di sekolah, kerap menilai pencapaian para pelajar, menyelaras program pengajaran dan memberi semangat kepada guru. Oleh itu kepimpinan pengetua tertumpu kepada bidang utama iaitu pengajaran, strategi bagi mencapai matlamat itu serta pembangunan dan peningkatan kecekapan para guru dalam bidang pengajaran.Dari enam ciri pengetua berkesan tadi, lima darinya berkaitan dengan ‘kepimpinan pengajaran’ dan hanya satu berkaitan dengan ‘kepimpinan pentadbiran’. Perkara ini disokong oleh Bennis (1985) yang mengatakan kepimpinan berkesan adalah pemimpin yang bercorak ‘doing the right thing and doing the thing right’. Rutherford pula mengkonsepsikan pengetua yang berkesan sebagai pemimpin sekolah yang mempunyai wawasan yang jelas tentang sekolahnya. Sergiovanni (1984) sekiranya sekolah itu hendak berkesan maka pengetua itu mestilah mempunyai peranan pemimpin yang berketrampilan.
b) Perkongsian visi dan matlamat.
Sesebuah Sekolah Berkesan perlu mempunyai falsafah sekolah tersendiri yang telah menetapkan visi,misi dan objektif sekolah itu. Leithwood dan Montgomery(1986) mendapati sebuah Sekolah Berkesan akan menumpukan kepada pembentukan matlamat sekolah yang jelas dan komprehensif. Matlamat sekolah ditentukan berdasarkan input, latarbelakang dan aspirasi para pelajar serta keperluan masyarakat sekitar. Fokusnya adalah untuk memperolehi satu visi yang dikongsi bersama dan ahlinya faham peranan masing-masing dalam mencapai visi tersebut. Fokus dan visi diterbitkan daripada kepercayaan dan nilai yang sama yang akan menghasilkan satu arah tuju yang konsisten. Falsafah sekolah melibatkan ekspektasi yang tinggi di kalangan staf dan pelajarnya.
(c) Persekitaran pembelajaran .
Ciri ini bermaksud Iklim sekolah yang baik dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri di kalangan pelajar.Persekitaran sekolah Berkesan adalah persekitaran yang sihat dan kondusif untuk pelajar dan stafnya berada. Kawasan sekolah dan bangunannya sentiasa bersih, selamat dan dijagai dengan rapi. Dengan ini satu hubungan positif akan terhasil di antara persekitaran dan warga sekolah. Ini menyebabkan para pelajarnya sensitif kepada kebersihan dan berusaha untuk mengawalnya tanpa perlunya peraturan tertentu.. Persekitaran yang begini boleh menyebabkan masalah disiplin dikalangan pelajar berkurang.
(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Ciri ini menampakkan keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagihkan masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas. Masa pembelajaran dioptimumkan dan aktiviti-aktiviti ko kurikulum diselaraskan supaya masa pembelajaran tidak terabai.
(e) Pengajaran yang bertujuan.
Mortimore mendapati kualiti pengajaran adalah intipati sekolah berkesan di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri “pengajaran bertujuan” pula bermakna organisasi itu perlu mempunyai pengurusan bilik darjah yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan sesuai. Pengurusan bilik darjah yang efisien termasuk pengurusan fizikal bilik darjah, pengurusan emosi bilik darjah, dan pengurusan suasana sosial bilik darjah. Perancangan dan penyusunan suasana fizikal bilik darjah melibatkan kegiatan mengorganisasi dan merancang perkara-pekara yang bersabit dengan tempat duduk pelajar,alat bantuan mengajar, alat pandang dengar, sudut aktiviti dan pameran, papan tulis dan berbagai-bagai perabot lain dengan sempurna. Suasana emosi pula adalah gabungan daripada berbagai-bagai perkara seperti suara guru, sikap dan ekspektasinya, kemesraaannya, kelucuannya, teknik mengawal bilik darjah, stail kepimpinan dan kaedah mengajar serta penggunaan pujian. Suasana sosial bilik darjah pula berkaitan dengan interaksi antara pelajar sesama sendiri sama ada sesama jantina atau berlainan jantina dan antara pelajar dengan gurunya. Tujuan pengajaran yang dibuat dalam Sekolah Berkesan perlulah jelas supaya matlamatnya dapat dicapai seperti yang diharapkan. Selain dari itu pengajaran guru itu perlulah ada struktur tertentu iaitu ada set induksinya, langkah-langkah aktivitinya,kaedah P&P yang akan digunakan, ada penilaian semasa P&P dan ada penutup pengajaran pada hari itu.
(f) Pengharapan yang tinggi.
Ciri ini bermaksud sekolah Berkesan mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap pelajar-pelajar mereka kerana rumusan dari Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Dalam sekolah Berkesan juga para gurunya percaya yang pelajarnya akan dapat mencapai skil-skil pembelajaran tertentu dan gurunya juga yakin bahawa mereka mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk menolong pelajar-pelajar tersebut. Guru akan menggunakan strategi tambahan seperti pembelajaran semula dan penyusunan semula kumpulan untuk pastikan mendapat kejayaan. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang meransang mereka untuk berjaya. Ransangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.
(g) Pengukuhan yang positif.
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pengukuhan ini perlu bagi menjamin pencapaian akademik dan peningkatan disiplin pelajar akan meningkat. Pelajar yang lemah dalam pencapaian akademik akan diselia oleh guru dan diberi pengukuhan kefahaman yang jelas. Kaedah masteri akan digunakan sehingga semua masalah akademik pelajar dapat diselesaikan. Pelajar yang mempunyai masalah disiplin pula akan diberi nasihat dan tunjukajar yang sepadan dengannya. Selepas itu mereka ini akan dipantau secara berterusan. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.
(h) Pemantauan kemajuan.
Sekolah berkesan perlu sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi sekolah secara teratur dan pemantauan terhadap pencapaian pelajar secara berkala. Hasil dari pemantauan ini digunakan untuk memperbaiki pencapaian seseorang pelajar dan program-program sekolah yang telah dijalankan. Pencapaian pelajar dalam setiap kali peperiksaan dibincang dan diambil tindakan jika ada kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti. Dengan ini satu program khas dirangka bagi mengatasi kelemahan tersebut. Penilaian terhadap pencapaian sekolah perlu dipantau dalam semua bidang termasuk kurikulum, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Mengikut Glesman (1984) menjelaskan bahawa markah kemajuan yang diperolehi oleh pelajar merupakan pembolehubah penting yang boleh dimanipulasi oleh pengetua untuk meningkatkan prestasi pelajar.
(i) Hak dan Tanggungjawab Pelajar.
Rumusan oleh Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya diberi peluang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.Hak utama pelajar disekolah adalah untuk mendapat pengetahuan yang tepat dan komprehensif melalui P&P formal dalam bilik darjah dan proses pembentukan akhlak dan sahsiah melalui sistem pendidikan di sekolah itu. Tanggungjawab utama pelajar adalah mempastikan bahawa mereka mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam semua bidang sama ada akademik, ko kurikulum atau pun akhlak. Untuk menjaga hak pelajar ini maka pihak sekolah perlu mempunyai satu badan tertentu untuk menjaga kebajikan mereka. Badan kebajikan ini akan menyokong keupayaan seseorang pelajar sehingga ke tahap tertentu dan menolong menyelesaikan permasalahan yang timbul dikalangan mereka.
(j) Hubungan- rumah sekolah.
Dapatan oleh Walberg (1984) menunjukkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa mempunyai kesan yang signifikan terhadap pembelajaran pelajar. Kajian telah menunjukkan bahawa pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah mereka. Pihak ibu bapa diberi peluang untuk memberi pandangan dan melibatkan diri dengan lebih aktif dengan pihak sekolah. Pihak sekolah dan guru-guru faham kepentingan penglibatan ibu bapa di sekolah dan dengan itu berusaha supaya penglibatan mereka dapat dioptimumkan lagi. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru. Pengetua pula boleh mengukuhkan lagi hubungan melalui dasar-dasar yang terbuka. Dalam sekolah berkesan ibu bapa terlibat dengan pembelajaran pelajar dalam berbagai cara dan sentiasa hadir dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Para ibu bapa juga terlibat untuk menyokong matlamat dan polisi-polisi tertentu sekolah. Penubuhan dan penglibatan PIBG adalah dapat merealisasikan hasrat ini.
(k) Organisasi Pembelajaran
Ciri ini menekankan bahawa sekolah perlu mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru-guru dan staf sokongan supaya terus meningkatkan ilmu profesional mereka sesuai dengan tugas yang dipikul. Pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf untuk membantu guru-guru meningkatkan lagi mutu P&P di dalam bilik darjah dan membantu staf sokongan dalam melakukan tugas dengan lebih berkualiti. Champagne (1980) menyatakan terdapat bukti yang menunjukkan bahawa perkembangan staf menghasilkan perhubungan yang baik antara guru dengan pelajar dan antara pengetua dengan guru. Dengan ini konsep ’kaizen’ akan dapat dihayati dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Perkembangan staf ini perlu dibuat berdasarkan "need assessment″ guru-guru dan staf sokongan. Sekolah juga boleh menggunakan kepakaran dan kemahiran guru sekolah sendiri atau kepakaran luar dalam program pembangunan staf di sekolah. Selain dari itu sekolah berkesan juga menggalakkan guru-guru menjalankan kajian diperingkat sekolah,menyertai seminar atau perbengkelan diluar sekolah dan juga menghasilkan buletin berkala untuk kegunaan para guru yang lain.
3.0 Sejauh manakah SM Sains Machang telah berusaha untuk mencapai status Sekolah Berkesan?
Secara ringkasnya Sekolah Menengah Sains Machang adalah sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Bilangan pelajarnya adalah 700 orang,70 orang guru dan 16 orang staf sokongan. Luas kawasan sekolah ini ialah 50 ekar dan mengandungi 4 blok sekolah , enam blok asrama, sebuah dewan besar, sebuah gimnasium ,dua belas unit kuarters guru dan dua puluh empat unit kuarters staf sokongan.
Berdasarkan ciri-ciri oleh Mortimore diatas maka sejauh manakah Sekolah Menengah Sains Machang Kelantan telah berusaha untuk mencapai status sekolah berkesan akan dibincangkan. Merujuk kepada ciri yang pertama iaitu kepimpinan profesional maka pengetua sekolah ini telah berusaha mengamalkan gaya kepimpinan berkesan dengan menetapkan dasar sekolah secara jelas dan selari dengan visi dan misi sekolah. Beliau telah membentuk dan mengamalkan dasar sekolah yang telah dipersetujui bersama di dalam mesyuarat pengurusan tertinggi sekolah yang diadakan setiap pagi Selasa , bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam setiap tindakannya. Pendekatan pengetua adalah pendekatan ”ekleketik”. Beliau sentiasa berhemah dalam menangani sesuatu isu dan masalah, mempunyai sikap luwes dan terbuka dimana semua staf berpeluang menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. Keputusan dibuat secara kolektif dan kolaboratif. Pengetua sekolah juga bersedia dan telah pun melakukan beberapa pembaharuan tanpa terlalu memikirkan risiko asalkan tujuan dan matlamat pembaharuan itu adalah untuk para pelajarnya. Satu gaya kepimpinannya ialah membuat rondaan setiap pagi (MBWA) selepas perhimpunan di ‛halt stand’ sekolah. Beliau juga telah berusaha mengamalkan ‛kepimpinan pengajaran’ dengan cara memberi bimbingan kepada semua guru tentang pelbagai kaedah P&P seperti kaedah Masteri, konstektual, inkuiri penemuan dan sebagainya. Selain dari mempengerusikan Jawatan Kuasa Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid, beliau juga membuat pemantuan kemajuan murid dan kurikulum, kokurikulum dan sahsiah murid. Budaya ilmu dan berfikir sentiasa menjadi keutamaannya terutama apabila berinteraksi dengan guru-guru dan para pelajar. Pengetua juga telah menyediakan wahana pencetus minda dengan menggalakkan mereka menjalankan dan membentangkan kajian tindakan. Dasar permufakatan dalam bekerja juga diamalkan oleh pengetua dengan membina pasukan pemikir(think tank) dan pasukan kerja yang mantap. Pengetua sentiasa berusaha mengupayakan Penolong-penolong Kanan dan guru-guru Kanan matapelajaran dengan cara memberi panduan yang jelas tentang sesuatu bidang tugas, menurunkan kuasa untuk membuat keputusan mengikut bidang kuasa masing-masing, menurunkan kuasa untuk mengambil tindakan tertakluk kepada bidang tugas masing-masing dan memberi bimbingan serta nasihat untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan.
Dalam menjadikan sekolah ini sebagai Sekolah Berkesan, maka pernyataan visi dan misi sekolah telah dibentuk. Pembentukan visi dan misi sekolah ini dibuat berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, wawasan negara,perkembangan pendidikan semasa, analisis SWOT, secara kolektif dan kemudian dikaji semula mengikut keperluan. Akhirnya setelah melalui beberapa siri mesyuarat dan perbincangan ,visi dan misi sekolah dibentuk.Visi sekolah ini berbunyi “ Menjelang Wawasan 2020 Sekolah Menengah Sains Machang akan melahirkan pelajar terbaik selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara”. Misinya adalah “Sekolah Menengah Sains Machang akan menyediakan Pendidikan terbaik berasaskan 4 tunjung bestari iaitu budaya berfikir, berakhlak mulia, bersifat global dan celik IT melalui pengurusan sistematik dengan berfokuskan akses kendiri, kadar kendiri dan terarah kendiri pelajar”. Pengdokumentasian visi dan misi adalah di dalam buku perancangan sekolah, buku panduan tugas guru, buku peraturan sekolah, brosur sekolah, majalah sekolah dan laman web sekolah. Kedua-dua visi dan misi sekolah pula dihebahkan dan diperjelaskan dalam perhimpunan sekolah, mesyuarat guru dan mesyuarat PIBG. Visi dan misi juga dipamerkan di di bilik gerakan sekolah, di papan kenyataan sekolah, di bilik guru, dipejabat, dibilik-bilik darjah dan di dinding bangunan sekolah.
Berdasarkan ciri Sekolah Berkesan yang ketiga, sekolah ini telah berusaha untuk membentuk iklim dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Dari segi premis, pihak sekolah telah mempastikan bangunan sekolah dan semua bilik-bilik darjahnya mempunyai ciri-ciri keselamatan. Sekolah juga menentukan persekitarannya bersih dan ceria serta mempastikan segala kemudahan mengcukupi dan selesa. Satu langkah yang dibuat supaya sekolah sentiasa bersih ialah mengadakan gotong royong perdana setiap bulan dan mengadakan kawasan-kawasan angkat. Program kawasan atau taman angkat ini bertujuan supaya setiap pelajar ada rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan tersebut. Oleh itu setiap kelas telah diagihkan kawasan angkat mereka bertanggungjawab menceriakan kawasan tersebut. Dari segi sistem komunikasi pihak sekolah telah mewujudkan sistem komunikasi yang membolehkan maklumat disampaikan kepada individu dan kumpulan sasaran secara telus, jelas dan mudah difahami. Dengan ini satu sistem siaraya sekolah telah di wujudkan. Maklumat-maklumat juga boleh di dapati dari papan-papan notis disekitar kawasan sekolah. Satu laluan ilmu telah juga diadakan disekolah ini dimana semua maklumat terkini telah ditampalkan dikawasan tersebut.
Merujuk kepada ciri yang keempat iaitu tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Fokus utama sekolah ini adalah kepada P&P. Setiap tahun perkara yang dinantikan oleh warga sekolah ialah pengumuman keputusan peperiksaanPMR dan SPM. Jika keputusannya baik maka proses P&P dianggap telah berlaku dengan sempurna. Di sekolah ini, kualiti P&P guru amat dititik beratkan. Oleh itu semua guru diminta membuat perancangan rapi sebelum sesuatu proses pengajaran dijalankan. Semua rancangan pengajaran di taip di dalam sistem komputer sekolah dan dihantar kepada pengetua setiap hari Khamis menerusi e- mail atau sistem ”net work ” sekolah. Pengetua akan menyemak rancangan pelajaran tadi. Guru-guru diminta mengambil kira ke pelbagaian kecerdasan (multiple intelligences) pelajar dalam melaksanakan proses P&P nya. Untuk mempastikan supaya semua sukatan pelajaran dapat dihabiskan seperti yang dirancang maka masa pembelajaran dioptimumkan samada melalui masa yang diperuntukan di dalam bilik darjah atau melalui kelas-kelas tambahan yang dipanggil kelas KERAH. Kelas KERAH ini telah bermula bulan Mac lagi dan mengandungi dua fasa iaitu fasa menghabiskan sukatan (Mac ke Julai) dan fasa pengukuhan dari bulan Ogos hingga Oktober. Kaedah ”support team” juga diperkenalkan disekolah ini untuk mengatasi masalah guru matapelajaran yang terpaksa menghadiri kursus diluar sekolah atau bercuti. Dalam kaedah ini jika seseorang guru matapelajaran itu cuti maka rakan dalam panitianya akan mengambil alih peranannya supaya proses pembelajaran tidak terganggu. Guru matapelajaran tersebut terlebih dahulu diminta menyediakan bahan edaran matapelajaran itu dan memberikan kepada guru penggantinya. Bagi mempastikan bahawa P&P guru tidak terbantut kerana kekerangan peralatan dan bahan bantu mengajar maka satu sistem pengurusan fiskal dibentuk iaitu setiap ketua panitia diminta membuat budget masing-masing untuk membeli bahan-bahan bantuan P&P. Konsep ”satu alat satu pelajar” diperkenalkan semasa pelajar membuat eksperimen makmal. Jika dulunya pelajar membuat eksperimen dalam kumpulan yang mengandungi 5 orang maka dengan konsep baru ini bilangan ahli akan dikurangkan dengan penambahan alat radas tadi. Satu lagi perkara yang dibuat disekolah ini dalam menjamin proses pembelajaran kendiri pelajar ialah ”program prep terancang”. Kelas prep adalah satu kelas dimana pelajar belajar secara sendiri disamping membuat kerja-kerja rumah. Untuk mempastikan bahawa aktiviti ini berjaya maka satu sistem pemantauan terancang telah diadakan oleh pengetua, penolong-penolong kanan dan ketua-ketua bidang disamping para waden. Semasa kelas prep ini juga para pelajar diminta mengisi buku “KEPROJEK” mereka. Buku ini adalah buku catatan harian yang mencatatkan apa yang mereka belajar semasa kelas prep dan buku ini akan diselia oleh penolong kanan pentadbiran.
Merujuk kepada ciri kelima iaitu pengajaran bermatlamat maka sekolah ini menekankan pengurusan bilik darjah yang berkesan dengan mengamalkan konsep bilik darjah terbuka. Dengan menggunakan konsep ini kerusi dan meja pelajar disusun mengikut kumpulan dan pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kebolehan masing-masing. Penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran amat digalakkan dan pendekatan yang digunakan oleh guru-guru adalah berpusat kepada pelajar dimana interaksi antara pelajar–guru dijalankan. Pelajar pula berada dalam keadaan aktif dan mereka diberi peluang untuk bergerak dan berbincang dengan rakan sedarjah atau dengan gurunya. Dari segi bentuk dan kemudahan bilik darjah disediakan dengan ruang pembelajaran untuk memudahkan pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Disamping itu hasil kerja pelajar diletakkan ditempat yang sesuai dalam bilik darjah dengan tujuan untuk menimbulkan suasana yang menarik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di belakang bilik darjah diletakkan rak besi yang mengandungi banyak “pigeon hole” untuk digunakan oleh pelajar. Dengan ini barang-barang pembelajaran pelajar tidak akan bersepah. Di depan dan belakang kelas dilekatkan dengan papan kenyataan ”soft board” dan pelajar diminta untuk memenuhkan softboard itu dengan maklumat berfaedah seperti carta organisasi kelas, artikel-artikel dan bahan-bahan bercetak dari internet. Dari segi pengajaran berstruktur pula , semua guru diminta menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan dan harian yang mengambilkira tahap kebolehan dan keupayaan pelajar. Mereka diminta melaksanakan set induksi yang dapat menarik perhatian dan meransang minat murid dan menjuruskan ke arah kesediaan minda murid. Semasa penyampaian isi pelajaran pula guru diminta menyampaikan pengajaran dengan mengamalkan pendekatan berasaskan prinsip pengajaran asas iaitu daripada mudah ke kompleks atau daripada konkrit ke abstrak, menghubungkaitkan pengajaran dengan kehidupan,menggunakan bahasa yang yang tepat, menggunakan masa dengan optimum,melaksanakan aktiviti mengikut tahap kebolehan pelajar dan mengambil kira pelbagai kecerdasan serta menerapkan kemahiran berfikir.Dari segi teknik penyoalan, guru menyoal pelajar dengan mengemukakan soalan mengikut aras kognitif berdasarkan Taksonomi Bloom, menyusun soalan dari mudah ke sukar, memberi masa pelajar berfikir,mengcungkil jawapan dari murid dan memberi respons yang sesuai terhadap jawapan pelajar. Selain dari itu guru membuat peneguhan terhadap pembelajaran dengan memberi pujian secara lisan atau isyarat bukan lisan terhadap perlakuan yang baik dan memberikan teguran yang bersesuaian terhadap perlakuan negatif pelajar. Guru juga diminta memberikan kerja rumah kepada pelajar mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Guru akhirnya mengakhiri pengajaran dengan membuat penutupan kognitif dan penutupan sosial. Dari segi penyesuaian pengkaedahan pula guru disekolah ini diminta supaya melaksanakan P&P dengan kaedah yang pelbagai dan sesuai dengan tahap pencapaian para pelajar. Kaedah P&P yang boleh digunakan adalah pembelajaran masteir, kajian masa depan, inkuiri penemuan, kontekstual, konstruktivisme , koperatif dan kolaboratif.
Ciri Sekolah Berkesan yang keenam pula ialah pengharapan yang tinggi. Pengetua dan guru-guru sentiasa memberikan semangat dan harapan kepada para pelajarnya di perhimpunan pagi dan dalam bilik darjah. Pengetua meyakinkan kepada semua pelajarnya bahawa mereka boleh memberikan kejayaan kepada sekolahnya. Maka dengan itu satu “program aku janji” di buat. Dalam program itu para ibu bapa dijemput datang ke sekolah untuk melihat anak mereka menanda tangani satu surat aku janji . Para pelajar juga ditentukan “take of value” (TOV) mereka. Nilai TOV ini diperolehi dari keputusan peperiksaan akhir tahun masing-masing. Dengan nilai TOV inilah maka setiap pelajar diminta menyatakan target masing-masing untuk tahun seterusnya.
Ciri yang ketujuh ialah pengukuhan yang positif. Sekolah Menengah Sains Machang sentiasa memberikan pengukuhan positif kepada para pelajarnya dengan cara menghargai segala sumbangan mereka kepada sekolah. Pelajar yang berjaya menaikkan nama sekolah akan diberikan penghargaan yang sewajarnya seperti diberi sijil atau hadiah. Setiap kali selepas keputusan peperiksaan peringkat sekolah pelajar yang mendapat markah yang tinggi akan diberi anugerah didalam perhimpunan pagi. Nama pelajar yang menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan awam akan dipamerkan di dinding dewan sekolah. Satu program yang dinamakan sistem “merit de merit” diperkenalkan. Dalam sistem ini pelajar akan diberi markah jika mereka menyumbang apa-apa kebaikan disekolah manakala jika mereka melakukan apa-apa kesalahan markah akan dipotong. Juga di asrama di perkenalkan konsep ”sistem rumah” yang ada hubungkait dengan sistem merit demerit tadi. Sistem rumah adalah satu sistem penempatan pelajar diasrama mengikut rumah sukannya. Pelajar-pelajar dari rumah yang sama akan ditempatkan dalam bangunan atau dormitori yang sama. Apabila seseorang pelajar mendapat markah meritnya, markah ini juga akan dimasukkan kedalam markah untuk rumahnya. Para pelajar akan menjaga disiplin mereka supaya markah rumah mereka tidak akan dipotong. Di akhir tahun markah jumlah untuk rumah dan markah merit individu tertinggi akan diumumkan dan hadiah akan diberikan.
Ciri kelapan ialah memantau kemajuan. Di Sekolah ini beberapa aktiviti dibuat untuk melaksanakan sistem pemantauan berkesan. Bagi mempastikan kecemerlangan dalam proses P&P bilik darjah maka pencerapan P&P guru di adakan secara formal. Pencerapan ini dilakukan oleh Pengetua, Penolong-penolong kanan, Guru-guru kanan matapelajaran dan oleh guru-guru cemerlang disekolah. Satu jadual dibuat dan pencerapan ini dibuat sebanyak dua fasa iaitu semester pertama dan semester kedua persekolahan.Selepas pencerapan dibuat perbincangan antara pencerap dengan pihak guru diadakan untuk memantapkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran bilik darjah. Satu salinan laporan dibuat untuk rujukan pengetua.Pemantauan buku latihan pelajar juga dibuat oleh pihak sekolah dimana pihak pentadbir akan meminta secara rawak lima buah buku latihan dari setiap kelas untuk diperiksa semula. Pihak pentadbir pula akan memantau secara berkala bilik-bilik darjah, bilik-bilik khas,dewan sekolah, gimnasium dan sekitar kawasan sekolah. Pemantauan dorm diasrama dibuat pada setiap hari .Untuk pemantauan bilik-bilik air satu buku log digunakan.Pemantauan aktiviti kokurikulum dibuat pada setiap hari Ahad dan Khamis kerana hari tersebut adalah hari Kokurikulum.
Ciri kesembilan ialah Hak Dan Tanggungjawab Pelajar. Dalam ciri ini sekolah menekankan kepada kebajikan pelajar. Oleh itu pihak sekolah telah melancarkan tabung sekolah yang diuruskan oleh seorang guru. Tabung ini mendapat sumbernya dari kutipan derma orang ramai. Wang yang ada digunakan untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan.Demi menjaga kebajikan pelajar, berbagai kemudahan disediakan iaitu ’water cooler,set television dikantin,diasrama dan disekolah. Untuk pelajar ke klinik pula, setiap hari telah dikhaskan sebuah bas untuk membawa ke klinik yang jaraknya 4 km dari sekolah. Telefon-telefon awam dipasang dilokasi -lokasi tertentu di kawasan sekolah. Kemudahan-kemudahan rekreasi dibuat dikawasan kolam lebih kurang 10 ekar. Kawasan ini dilengkapi dengan kawasan trek jogging ,kemudahan memancing di kolam dan berkayak. Kemudahan bersukan yang lain juga disediakan. Peralatan sukan adalah mengcukupi, begitu juga dengan padang-padang permainan dan gelanggang. Program mentor-mentee dibuat secara formal setiap dua minggu sekali di asrama. Mentor iaitu para guru akan berjumpa dengan menteenya
Ciri kesepuluh ialah Hubungan Rumah-sekolah. Hubungan antara sekolah ini dengan pihak ibubapa adalah erat. Mesyuarat tetap AJK di buat dua bulan sekali. Para ibu bapa sentiasa dijemput untuk hadir ke majlis-majlis rasmi sekolah seperti hari sukan tahunan, hari konvokesyen sekolah, hari terbuka asrama,hari kokurikulum, dan hari kecemerlangan sekolah. Selain dari itu, khas untuk memfokuskan hal-hal akademik diadakan “program runding cara akademik”. Program ini akan diadakan sebanyak dua kali setahun selepas peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan prestasi kedua pada bulan Ogos. Dalam majlis ini ibu bapa dijemput ke sekolah untuk menerima keputusan peperiksaan anak masing-masing. Kaunter-kaunter matapelajaran dibuka untuk pertemuan terus ibu bapa, para pelajar dan guru-guru matapelajaran. Disamping itu kaunter perkhidmatan kaunseling, kaunter HEM, kaunter akademik juga turut dibuka. Semua cadangan dari ibu bapa boleh dibuat menerusi kaunter-kauner yang telah disediakan. Program solat hajat akan diadakan bersama para ibu bapa sebelum sesuatu peperiksaan awam di adakan. Satu lagi program yang dibuat melibatkan ibu bapa ialah “program aku janji” dimana pelajar akan duduk bersebelahan ibu bapanya ,kemudian membaca ikrar pelajar dan seterusnya menandatangani perakuan aku janji. Program seterusnya ialah “program izin ilmu” dimana sebelum peperiksaan awam guru-guru akan mengizinkan ilmu yang dicurahkan mereka diguna oleh para pelajar. Sekolah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan agensi-agensi luar seperti pihak Bomba, Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bekalan Air, JKR ,TNB, Majlis daerah dan sebagainya. Setiap tahun wakil jabatan-jabatan ini akan dijemput ke majlis makan malam nolstalgia sekolah bagi meraikan sumbangan mereka kepada pihak sekolah.
Ciri kesebelas ialah organisasi Pembelajaran. Sekolah Menengah Sains Machang telah merangka dan melaksanakan beberapa siri program pembangunan staf. Antara tajuk-tajuk yang ditekankan ialah kaedah-kaedah P&P Bestari,Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (SKPM),kajian Tindakan, Pengurusan Strategik,Pengurusan Masa dan Kursus ICT dalam P&P. Dalam kursus ICT beberapa tajuk di sentuh seperti program ISIS,perisian power point, flash, autuoware dan “microsoft word”. Pihak sekolah juga menekankan kepada para gurunya supaya melaksanakan kajian tindakan. Oleh itu selepas sahaja kursus Kajian Tindakan semua guru diminta untuk menghantar proposal masing-masing kepada pengetua dalam masa dua minggu. Kemudian barulah para guru diminta mengutip data dan menulis kajian tindakannya itu. Program untuk memantapkan kerohanian sokongan staf dan guru dibuat setiap hari Khamis. Dalam program ini serorang ustaz memberikan tazkirah kepada semua guru dan staf sokongan yang ada kelapangan masa. “Sistem Buddy” untuk menolong guru-guru sains dan matematik juga di buat pada masa terakhir persekolahan. Mesyuarat Panitia Matapelajaran juga dibuat dwimingguan iaitu pada hari Khamis masa pertama persekolahan.Laporan mesyuarat panitia ini hendaklah diserahkan kepada pengetua seminggu selepas mesyuarat itu diadakan.
4.0 Cabaran-cabaran kearah menjadi Sekolah Berkesan
(a) Kepimpinan Pengetua
Cabaran pertama yang dihadapi oleh pengetua adalah mengenai budaya Sekolah. Sekolah Menegah Sains Machang mempunyai budaya tersendiri yang sudah diwarisi sejak penubuhan sekolah ini lagi. Tugas pengetua adalah menentukan budaya ini selari dengan ciri sekolah berkesan. Budaya–budaya negatif seperti gejala membuli pelajar baru, tidak acuh kepada pembelajaran, tidak menepati masa, pakaian selekeh, suka mengambil barang orang lain mem, tidak memberi salam, suka memperlekeh rakan-rakan, tidak mahu menjadi pemimpin, budaya kampung, perasaan introvert dan “inferiority complex” yang tinggi ditangani dengan serius oleh pihak pengetua. Oleh itu pengetua perlu menyenaraikan semua budaya yang ada di sekolah ini,menganalisis satu persatu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Pengetua juga menghadapi cabaran dari segi mengamalkan kepimpinan pengajaran. Ini adalah kerana tugas pentadbiran yang bertimbun dan banyak yang datangnya PPD, JPN dan Sektor Sekolah Berasrama Penuh. Sekarang ini lebih kurang 60% daripada masa pengurusan dan pentadbiran pengetua adalah mengurus pejabat dan hanya sedikit masa untuk melaksanakan kepimpinan pengajaran. Begitu juga pengetua perlu menggunakan “kaedah empowerment” untuk mengagihkan tugas-tugas pentadbiran kepada semua penolong-penolong kanannya. Pihak pengetua hanya perlu memantau sahaja. Dengan cara ini barulah pengetua mempunyai masa yang banyak untuk melaksanakan program kepimpinan pengajaran.
(b) Cabaran tentang Proses P&P Bilik Darjah
Satu perkara yang timbul dalam pemantapan proses P&P bilik darjah di sekolah ini adalah tentang guru yang terpaksa hadir mengikuti kursus,seminar, membawa pelajar aktiviti sukan dan kokurikulum. Hampir setiap hari ada sahaja guru yang terpaksa bertugas diluar dan meningalkan kelas mereka. Walaupun ada kaedah yang dibuat diperingkat sekolah untuk mengatasi masalah ini tetapi ia tetap menjadi cabaran kepada pihak sekolah kerana kadang kala ramai guru yang terpaksa keluar sekolah. Guru-guru “relief ” kelas tidak mengcukupi. Guru-guru pengganti ini sebenarnya pun ada komitment dan tanggungjawab yang lain. Ada juga program guru muda dibuat untuk mengatasi masalah ini.Program guru muda ini hanya setakat dapat mengatasi masalah ini buat sementara sahaja sebab mereka adalah tidak terlatih dan tidak mempunyai konten yang mendalam dalam sesuatu subjek itu sendiri.
Satu lagi cabaran ialah dalam penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan guru dan pelajar sekolah ini. Dengan pelaksanaan P&P matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sekarang maka Bahasa Inggeris menjadi sangat penting. Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan seperti “English Day”, “Public Speaking”, “Buddy Sustem”, “English Camp” dan kursus dalaman masih lagi belum menjamin penguasaan bahasa ini di tahap yang tinggi.
(c) Cabaran tentang penglibatan Ibu Bapa
Walaupun banyak program telah dirangka yang melibatkan ibu bapa, satu masalah yang timbul adalah peratus ibu bapa yang hadir ke majlis-majlis anjuran sekolah tidaklah tinggi . Ini mungkin berlaku kerana para pelajar sekolah ini datangnya dari seluruh negeri Kelantan . Jadi untuk menghimpunkan semua ibu bapa dalam masa yang sama adalah satu cabaran kepada pihak sekolah. Satu lagi sebab mengapa kehadiran ibu bapa tidak seratus peratus ialah kerana masalah kerja iaitu mereka mungkin susah untuk mendapat cuti dari majikanya. Walau bagaimana pun pihak sekolah cuba memaklumkan segala perkembangan sekolah melalui surat atau melalui anak-anak mereka.
(d) Cabaran Prasarana Dan kemudahan sekolah
Satu masalah besar yang di hadapi oleh sekolah ini adalah masalah air. Sekolah ini mendapat bekalan air dari Air Kelantan Sdn. Bhd. Tetapi disebabkan masalah tertentu bekalan air ke sekolah ini sering terputus. Para pelajar terpaksa bangun pada awal pagi lagi untuk mendapatkan bekalan air yang sentiasa terhad. Ada pelajar yang tidak mandi untuk ke sekolah pada keesokan harinya dan menyebabkan mereka lesu tidak bermaya untuk meneruskan proses P&P mereka. Kekurangan air ini juga menyebabkan masalah-masalah yang lain seperti tandas menjadi kotor, pelajar lambat ke kelas prep , pelajar lambat mengikuti aktiviti ko kurikulum dan lain-lain aktiviti. Masalah air ini bukan sahaja melibakan para pelajar tetapi juga melibat para guru yang tinggal di kawasan sekolah, pihak kantin dan dewan makan asrama. Kadang-kala pelajar terpaksa diminta pulang kerumah kerana bekalan air terputus. Pihak sekolah telah cuba mengatasi perkara dengan melakukan berbagai cara seperti membina telaga raya, meminta bantuan dari agensi luar iaitu Air Kelantan Sdn Bhd., Jabatan Kerja Raya maupun pihak Bomba tapi setakat ini masih tidak berjaya sepenuhnya. Peruntukan juga telah diperolehi untuk membina telaga tiub dan sebanyak dua telaga tiub telah dibina tetapi kuantiti air masih lagi belum mengcukupi untuk menampung bilangan pelajar sejumlah 700 orang itu.
Satu lagi cabaran dalam hal prasarana sekolah adalah dari segi keceriaan sekolah. Cat di dinding sekolah, asrama, pangsapuri guru, flat pekerja telahn pudar dan usang. Untuk mengecat semua tempat-tempat ini memerlukan kos yang sangat tinggi. Begitu juga untuk menjaga tandas, bilik-bilik khas, bilik guru, bilik komputer ,gimnasium sekolah, dewan sekolah, pangsapuri guru, flat pekerja, asrama dan dewan makan asrama memerlukan kos yang tinggi. Bilik guru yang ada sekarang juga agak padat. Oleh itu pihak pentadbir perlu memikirkan cara untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membaiki perkara-perkara yang disebutkan tadi. Peruntukan kewangan yang diperuntukan oleh pihak KPM tidaklah mengcukupi untuk membaiki semua tempat tadi sekali gus. Antara langkah-langkah yang dibuat untuk mendapatkan dana bagi tujuan perkara diatas adalah melalui sumbangan PIBG, menganjurkan program “Walkathon” atau “Jogathon ” , memohon sumbangan dari Persatuan Bekas Pelajar dan dari orang ramai.
(e) Cabaran Budaya Research
Budaya menjalankan kajian adalah satu budaya yang patut dimiliki oleh semua guru yang mengajar disekolah ini. Satu masalah yang timbul ialah ketidaksanggupan para guru untuk menjalankan kajian kerana memikirkan perkara ini sukar dan memerlukan masa yang banyak. Oleh itu maka pihak sekolah telah berusaha memahamkan para guru bagaimana untuk melakukan kajian ini yang dimulai dengan membuat kajian tindakan. Sebahagian guru memikirkan masa yang yang gunakan untuk membuat kajian ini sebaiknya digunakan untuk membuat perkara lain yang lebih berfaedah. Ini lah cabarannya ialah bagaimana untuk menggalakkan guru melaksanakan kajian ini tanpa dipaksa oleh sesiapa. Selain dari pihak guru sekolah ini juga mempunyai satu lagi cabaran iaitu menjadikan para pelajarnya terdidik dengan budaya kajian dan inovasi. Untuk menjadi sekolah berkesan amalan melakukan kajian , membuat inovasi dan mencipta alat-alat baru melalui kaedah rekacipta sepatutnya telah menjadi satu amalan di sekolah ini.
(f) Cabaran ICT
Sekolah ini adalah salah sebuah sekolah yang dilengkapi dengan peralatan komputer yang mengcukupi oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Disekolah ini terdapat tiga makmal komputer yang digunakan oleh pelajar dan guru-guru. Antara cabaran yang dihadapi ialah perisian yang disediakan tidak sesuai dengan pelajar SBP iaitu tahapnya adalah terlalu mudah untuk diikuti oleh pelajar disekolah ini. Dengan itu maka pihak sekolah mencari alternatif lain supaya perisian yang disediakan dan digunakan dalam P&P bilik darjah adalah sesuai dengan pelajar yang yang ratanya mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi. Dari segi program pula tidak semua guru yang mahir dalam menggunakan komputer dalam P&P. Oleh itu satu cabaran kepada semua guru supaya melengkapkan diri mereka supaya dapat menggunakan komputer semasa mengajar di dalam bilik darjah. Pihak sekolah sudah pun berusaha memberikan beberapa kursus dalaman dalam menyediakan bahan P&P berbantukan komputer ini. Satu lagi cabaran yang dihadapi ialah masalah server yang sentiasa rosak. Apabila ini berlaku semangat guru dan pelajar yang menggunakan perkhidmatan komputer akan terganggu. Begitu dengan talian internet yang kerap terganggu juga merencatkan lagi rentak penggunaan komputer semasa P&P. Satu lagi masalah yang timbul ialah mengenai keselamatan maklumat dalam sistem komputer disekolah. Maklumat-maklumut yang ada dalam sisitem di sekolah perlu mempunyai satu sistem keselamatan supaya tidak dapat dicerobohi oleh individu yang tidak berkenaan.
(g) Cabaran Tentang Kegemilangan Sekolah
Dari segi pencapaian akademik sekolah ini berada dalam kelompok 15 sekolah teratas dikalangan Sekolah Berasrama Penuh. Boleh dikatakan bahawa keptusan peperiksaan PMR dan SPM sekolah ini adalah baik. Cabaran yang dihadapi sekolah ini dalam hal ini adalah untuk mendapat tempat pertama dalam ranking Sekolah Berasrama Penuh. Jika ini dapat dilakukan maka sekolah ini akan dapat mencapai status sekolah gemilang di negara ini. Dengan input pelajar , bilangan guru yang ada, keadaan prasarana P&P yang ada, semangat dan cita-cita serta jangkaan kejayaan yang tinggi di kalangan pelajar adakah sekolah ini akan mencapai target yang dikehendaki? Selain dari prestasi dalam bidang akademik , bidang kokuriulum dan sukan juga menjadi target sekolah ini. Ada banyak lagi permainan sukan sekolah ini yang tidak mencapai taraf johan negeri dan peringkat kebangsaan. Oleh itu adalah menjadi satu cabaran kepada pihak sekolah supaya dalam bidang sukan dan lain-lain pertandingan kokurikulum juga sekolah ini menjadi juara.
(i) Masalah disiplin Pelajar
Masalah disiplin disekolah ini adalah agak terkawal. Tidak ada masalah disiplin yang berat dan ketara dikalangan para pelajar disekolah ini. Walau bagaimanapun masih adalah lagi terdapat beberapa kes terpencil yang timbul seperti kes ponteng, lewat ke kelas, mencuri, bergaduh dan merokok. Dengan itu kempen “disiplin sifar” masih belum dapat tercapai sepenuhnya. Masalah disiplin disekolah ini bermula selepas pelajar pulang ke asrama. Oleh itu menjadi satu cabaran kepada pihak sekolah bagi mempastikan bahawa tiada lagi masalah perlanggaran disiplin berlaku di sekolah ini.
5.0 Kesimpulan
Dalam perbincangan di atas telah dibincang secara menyeluruh ciri-ciri Sekolah Berkesan. Ciri yang paling utama ialah kepimpinan pengetua dalam mengendalikan seluruh jentera sekolah bagi mencapai sekolah yang diingini ini. Seorang pengetua yang profesional akan menggunakan pendekatan konsep kepimpinan pengajaran dalam memimpin dan mengurus sekolah. Dimulai dengan membentuk visi dan misi sekolah dan menghebahkannya maka seluruh warga sekolah akan dapat menentukan halatuju sekolah itu. Pengetua juga tidak boleh lupa tentang persekitaran pembelajaran iaitu mewujudkan iklim sekolah yang harmoni untuk berlansungnya proses P&P di dalam bilik darjah. Guru-guru pula mesti mempunyai pengajaran yang bertujuan dan sentiasa menekankan harapan untuk mendapat kejayaan yang tinggi kepada pelajarnya.Pelajar patut diberi pengukuhan yang positif dalam semua aktiviti yang dibuat di dalam atau diluar bilik darjah. Pemantauan yang sistematik dirangka supaya pengetua dapat membuat penilaian pencapaian sekolah pada masa-masa tertentu. Pelajar juga perlu diberikan haknya dan kesedaran tentang tanggungjawabnya kepada dirinya, ibubapanya dan sekolahnya. Hubungan sekolah dengan ibubapa perlu lebih akrab supaya segala permasalahan terutama pembentukan minda dan akhlak pelajar dapat diselesaikan. Akhir sekali untuk menjamin mutu pengajaran dan pembelajaran adaah tinggi maka program pembangunan staf perlu dimantapkan lagi.
Dalam mencapai sekolah Berkesan ini maka Sekolah Menengah sains Machang telah pun mengambil langkah-langkah dan menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu supaya tidak sahaja dapat menjadi sekolah cemerlang tetapi sekolah yang gemilang dan terbilang. Namun begitu, sekolah ini tidak boleh lari dari kekangan–kekangan yang timbul seperti masalah pengurusan , P&P guru dalam bilik darjah,prasarana sekolah , masalah disiplin pelajar dan hubungan dengan masyarakat luar. Kekangan ini merupakan cabaran-cabaran yang perlu diperhatikan dengan serius oleh pihak pentadbir sekolah. Kaedah kerja sepasukan telah terbukti dapat mengatasi masalah yang telah dibincangkan di atas. Kejayaan organisasi moden sering dikaitkan dengan peranan kerja sepasukan. Pasukan yang dibentuk biasanya sentiasa bekerjasama bagi tujuan untuk mencapai matlamat organisasi. Pengetua yang berjaya ialah pengetua yang dapat menjadikan sebuahnya dari sekolah biasa kepada sekolah yang berkesan dan dikenali kagumi oleh semua orang.
BIBLIOGRAFI:
1. Bennis,W., dan Nanus. B, Leaders: Strategies for taking charge. New York:
Harper & Row, 1985.
2. Chan Yuen Fook, Kertas Kerja: Pengurusan Strategik Ke Arah Sekolah Berkesan, 1999.
3. Hussein Mahmood, Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.
4. Lezotte,Lawrence W . Correlates Of Effective Schools: The First and Second
Generation. Effective Schools Products, Ltd., Okemos, M1, 1991.
5. Lethhwood, K.A., dan Montgometry,D.J.. Improving principal effectiveness: The
principal profile. Toronto : OISE Press, 1986.
6. Mortimore, P .Key characteristics Of Effective school. Kertas Kerja yang
dibentangkan di Seminar Sekolah Efektif. IAB, Kuala Lumpur,1995.
7. Sweeney,J, “Research synthesis on effective school leadership.” Educational
Leadership,39(5),hlm, 346-352, 1982.
8. Walberg,H.J, “Improing the productivity of America’s schools. Educational
Leadership”, 41(8) hlim 19-27, 1984.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment