Wednesday, February 11, 2009

cerpen - roket air

ROKET AIR
Burhan Ramli

“Cikgu, ada surat di atas meja dalam bilik cikgu,” kata Man pembantu am pejabat sekolah aku. “Ok, terima kasih,” jawab ku ringkas. Sampai saja ke bilik aku terus melihat ada sekeping surat berlogo JPN. “Aah… surat tentang pertandingan teknologi roket air,” bisikku. Aku pada mulanya tidak terus memberi perhatian kepada surat itu kerana itu tugas rutinku saban tahun. Aku mengambil buku rekod mengajar dan menghabiskan tugasku untuk menulis rancangan pengajaran dan pembelajaran untuk esok. Sedang aku menulis tiba-tiba aku terpandang tarikh pertandingan dalam surat yang terletak di atas meja itu. Mata aku terbeliak bila melihat tarikh pertandingan tersebut. Bila aku hitung harinya hanya tinggal empat hari saja lagi pertandingan itu akan diadakan. Tempat pertandingan itu pula di sekolah aku.”Gawat ini…..,” kataku kepada diri sendiri. “Masa sangat suntuk,” bisikku lagi. “Peserta belum dipilih lagi”tambahku. Biasanya aku memilih peserta daripada pertandingan peringkat sekolah tetapi tahun itu aku agak sibuk dengan tugasan lain. Tanpa melengahkan masa lagi aku terus memanggil Pengerusi Persatuan Fizik sekolah, Mohd. Hanif, untuk berbincang tentang pertandingan pelancaran roket air peringkat sekolah. “Hanif, kita ada masa empat hari saja sebelum pertandingan roket air peringkat negeri,” kataku. “Habis macammana cikgu? ” ujar Mohd. Hanif. “Sempat ke kita buat pertandingan peringkat sekolah?” tambahnya lagi. “Sempat tak sempat kita kena buat juga untuk keadilan. Kita tidak boleh pilih sembarangan sahaja peserta sekolah kita. Nanti kualiti peserta kita tidak seberapa,” jawab ku. “Jadi hari ini kamu buat iklan di papan notis untuk menghebahkan tentang pertandingan tersebut. Esok kita kena dapatkan maklumat tentang jumlah peserta yang ingin memasuki pertandingan tersebut di peringkat sekolah. Kemudian bentuk ahli jawatankuasa pertandingan segera petang ini juga. Malam ini saya akan datang untuk mengadakan taklimat kepada ahli jawatankuasa pertandingan” tambahku lagi.
Malam itu sebaik sahaja selesai memberikan taklimat pertandingan kepada AJK yang akan bertugas aku terus merangka jadual pertandingan. Berbagai persoalan muncul dalam benakku. Adakah masa untuk mengadakan pertandingan ini mencukupi? Waktu persekolahan pula tidak boleh diganggu. Masa yang ada cuma sebelah petang sahaja. Ini pun kena minta kebenaran pihak sekolah kerana melibatkan waktu prep mereka. Aku perlu menghabiskan pertandingan itu paling lama pun dua hari sahaja. Kategori pertandingan itu pula ada dua iaitu sasaran dan paracute.
“Cikgu, jumlah penyertaan adalah sebanyak 20 pasukan” , kata Mohd Hanif pada pagi esoknya. “Hmm.. banyak tu.” kataku kepada Mohd. Hanif. Aku terdiam sebentar kerana bimbang tak dapat untuk menghabiskan pertandingan itu dalam masa yang ditetapkan. “Tak apa” kataku . Di dalam hati aku cuba menyimpan perasaan cemas aku daripada Mohd Hanif. Petang itu aku memberikan taklimat ringkas kepada semua peserta yang akan mengambil bahagian. Mereka diberikan masa hanya satu hari sahaja untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua buah roket . Satu untuk kategori sasaran terbaik dan satu lagi untuk kategori paracute.
Pada petang keesokannya pertandingan peringkat sekolah bermula. Hanya lima pasukan sahaja dapat melancarkan roket masing-masing. Maka terpaksalah pertanidingan disambung pada sebelah malam. Tepat jam 8.00 malam pertandingan bersambung. Nasib aku baik kerana padang tempat pertandingan terdapat sportlight dan cuaca cerah. Sebanyak 15 pasukan lagi perlu melancarkan roket masing-masing. Malam semakin larut dan banyak lagi pasukan yang belum siap melancarkan roket mereka. Oleh kerana terlalu letih aku berehat sekejap di atas tangga simen ditepi tempat pelancaran roket tersebut. Aku tidak boleh meninggalkan kawasan ini bimbang sesuatu perkara yang tidak diingini terhadap pelajar berlaku. Entah masa mana aku tidak sedar yang aku tertidur hinggalah aku dikejutkan oleh Mohd. Hanif. “Cikgu, pertandingan telah selesai,” katanya. Aku terus bangkit dan mengarahkan AJK pertandingan untuk mengemaskan segala peralatan dan membawanya ke makmal. Malam itu aku sampai ke rumah jam 2.00 pagi.
Pagi esoknya diadakan acara penyampaian hadiah semasa perhimpunan pagi di medan perhimpunan sekolah. Pertandingan itu dimenangi oleh Hazman dan Faisal., pelajar tingkatan 4 Al Jahiz. Penyampaian hadiah dapat dibuat terus pada pagi itu kerana setiap pagi sekolah aku mengadakan perhimpunan ringkas. Selepas sahaja penyampaian hadiah itu aku terus memanggil Hazman dan Faisal, johan pertandingan tersebut untuk diberikan taklimat tentang pertandingan di peringkat negeri pula. Masa untuk mereka menyiapkan roket hanya satu hari sahaja. Hazman dan Faisal memberitahu aku bahawa dia perlu membina roket-roket baru kerana roket mereka telah rosak.
Pada petang itu aku meminta kebenaran Penolong Kanan HEM untuk membawa mereka keluar ke bandar bagi membeli peralatan membina roket-roket tersebut.. Selepas membeli semua peralatan yang diperlukan aku menghantar pulang kedua-dua pelajar ke asrama mereka. Kemudian aku terus balik ke rumah yang terletak kira-kira 10 km dari sekolahku. Pada waktu malam itu aku sekali lagi ke sekolah untuk meninjau persediaan menyiapkan pembinaan roket oleh Hazman dan Faizal. Kira-kira jam 12.00 malam aku pulang ke rumah.
Keesokan hari persekolahan berjalan seperti biasa. Hazman dan Faizal tidak dapat meneruskan pembinaan roket mereka kerana tidak ingin ketinggalan dalam pelajaran masing-masing. Oleh itu mereka terpaksa menyambung kerja mereka pada waktu petang dan malam. Aku agak risau kerana pertandingan peringkat negeri akan bermula pada keesokan hari sedangkan roket mereka belum siap dan belum dicuba lagi. Pada petang itu Hazman dan Faizal meneruskan kerja mereka membina roket air mereka dan hanya dapat menyiapkan sebuah sahaja. Mereka memerlukan sekurang-kurangnya sebuah roket lagi untuk kategori paracute. Lebih kurang jam 12.00 tengahmalam hari itu roket kedua mereka dapat disiapkan. Kemudian kedua-dua roket itu dibawa ke padang sekolah untuk di uji kemampuannya. Roket pertama untuk kategori sasaran dilancarkan dan tersasar dari sasaran lebih kurang 2 meter. Aku meminta Hazman menambahkan isipadu air dan sudut dongakan pada pelancar supaya lebih menepati sesaran. Penambahan isipadu air itu adalah untuk menambahkan momentum dan daya tujah pada roket. Percubaan kedua agak hampir dengan sasaran tetapi masih lagi kurang tepat . Pada percubaan kali kelima jarak antara roket jatuh dengan sasaran adalah hanya kira-kira 10 cm sahaja. Aku mengarahkan Hazman berhenti mencuba untuk kategori ini dan berpuashati dengan keputusan tersebut. Malam semakin larut. Jam ditanganku sudah menunjukkan angka 2.00 pagi. Aku terus meminta Hazman dan Faizal mencuba roket kategori paracute pula. Percubaan pertama gagal kerana paracut tidak terbuka di udara. Hazman mengambil roket itu dan membuat sedikit pengubahsuaian. Cubaan kedua dibuat tetapi masih lagi tidak terbuka. Mata aku sudah mengantuk. Aku berehat sekejap di atas astaka di tepi padang sekolah lalu tertidur. Tiba-tiba Hazman mengejutkan aku dan berkata “Cikgu, roket kita terlekat di atas bumbung dewan besar sekolah”. “Kamu pasti roket itu lekat disitu? tanya aku sekali lagi kepada Hazman. “Ya” jawab nya dengan tegas. Aku agak tergamam seketika. Fikiran aku mula berputar mencari resepi bagaimana untuk mengambil roket yang terlekat di atas bumbung dewan sekolah yang tinggi itu. Masa sudah menunjukkan jam 3 pagi. Aku teringat tangga yang tinggi ada di dalam setor sekolah tapi setor itu berkunci sekarang. Aku terus menalipon Encik Ismail pekerja sekolahku untuk bertanya tentang kunci setor tersebut. Beliau mengatakan bahawa kunci tersebut ada dengannya. Aku mengajak Hazman dan Faizal ke rumah Ismail untuk mengambil kunci tersebut. Sampai di rumahnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah, Ismail sudah pun menunggu di pintu rumahnya.. “Cikgu,” katanya. “Siapa yang akan memanjat.bumbung tersebut?” “Ya tak ya juga kataku siapa ya?” . Takkan aku nak suruh pelajar-pelajarku untuk panjat. Bahaya jika ada perkara yang tidak diigini berlaku. Lagi pun masa dah larut malam. “Saya sendirilah” kataku kepada Ismail. “Beginilah cikgu, kita ke sekolah dan tinjau dulu keadaan”.ujar Ismail pula. Aku agak terharu dengan Ismail yang ingin menolong walaupun masa sudah menjangkau jam 4 pagi. Aku menghidupkan kereta dan balik semula ke sekolah. Ismail mengekori dengan motosikalnya. Sampai di sekolah, Ismail mengambil tangga di dalam setor sekolah dan membawanya ke dewan besar sekolah. Beliau memanjat tangga dan terus ke bumbung dewan sekolah sementara aku dan para pelajar menunggu di bawah. Aku berdoa supaya tidak ada apa-apa kejadian yang tidak diigini berlaku kepada Ismail di atas sana. Selepas lima minit mencari di atas bumbung Ismail menyatakan beliau sudah menjumpai roket tersebut. Beliau lalu membawa roket itu turun dan menyerahkan kepada Hazman. Aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ismail yang telah sanggup datang menolongwalaupun jam seduah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Kemudian Ismail beredar dari situ dan terus balik ke rumah. Aku mengajak Hazman dan Faizal ke padang sekolah semula. Tiba-tiba Hazman memberitahu paracute roket bocor dan rosak. Aku menyatakan kepada Hazman kita baiki esok sajalah. Hazman menyatakan bahawa esok dah hari pertandingan. “Oh ya,” kataku. “Lalu bagaimana?” tanyaku. Hazman dan Faizal mengatakan bahawa mereka sanggup untuk membaiki paracut sekarang. Sekali lagi sambil menunggu mereka membaiki roket itu di astaka sekolah aku tertidur. Aku kemudiannya terjaga apabila azan subuh dari masjid sekolah berkumandang. Aku melihat kedua-dua pelajarku masih lagi asyik membaiki roket mereka. “Tak siap lagi ke?” tanyaku. “Dah hampir siap” kata Hazman. “Ok” kataku. “Simpan semua barang-barang termasuk pelancar roket ke dalam bekas yang disediakan dan hantar ke makmal sekolah. Nanti kita jumpa semula sebelum jam 8.00 pagi di sini. Jam 9.00 pagi pertandingan akan bermula”. kata ku kepada Hazman dan Faizal. Aku terus balik kerumah.
Jam 7.30 pagi aku sudah berada semula di sekolah. Selepas mencatatkan kehadiranku di pejabat sekolah aku terus ke padang meninjau tempat pertandingan pelancaran roket air yang akan diadakan pada hari itu. Lebih kurang jam 8.00 pagi urusetia pertandingan sudah sampai ke lokasi pertandingan dan pasukan-pasukan dari sekolah-sekolah yang bertanding mula sampai. Pendaftaran pasukan-pasukan yang akan bertanding bermula. Juruacara membuat hebahan melalui pembesar suara meminta semua pasukan yang bertanding mendaftar di astaka padang sekolah. Kelibat Hazman dan Faizal belum lagi kelihatan. Aku meminta beberapa orang pelajar mencari Hazman dan Faizal untuk mendaftarkan diri mereka kepada urusetia pendaftaran. Lebih kurang jam 8.45 pagi juruacara memanggil nama beberapa buah sekolah yang masih belum mendaftar. Antaranya termasuk sekolah aku. Aku agak panik kerana kelibat kedua-dua pelajarku masih belum kelihatan. “Mana pula budak-budak ini,” bisik hatiku. Tadi aku sudah pesan kepada mereka supaya berada di astaka sebelum jam 8 pagi. Kemudian pelajar-pelajar yang aku minta tolong mencari Hazman dan Faizal datang dan memberitahu mereka tidak berjumpa dengan Hazman dan Faizal walaupun sudah mencari diseluruh kawasan sekolah. Aku terus menghidupkan enjin keretaku lalu terus ke asrama. Sampai di dorm mereka juga tidak ada juga disitu. “Ke mana kedua-dua budak ini pergi”? Bisik hati ku lagi. Aku termenung seketika. Tiba-tiba aku dapat ilham. Mungkin di masjid. Aku terus ke masjid dan mendapati kedua-duanya sedang nyenyak tidur. Lantas aku mengejutkan mereka. “Maaf, cikgu” ujar Hazman. “Kami tertidur selepas solat subuh tadi” “Ok” kataku “mari naik kereta cikgu kita pergi membuat pendaftaran dulu di astaka sekolah”. Lalu aku membawa pelajar-pelajar itu ke astaka sekolah untuk mendaftar. Selepas mendaftar aku kemudian membawa mereka ke asrama untuk membersihkan diri dan menukar pakaian mereka. . Dalam hati, aku berkata nasib baiklah pertandingan dibuat di sekolahku.
Lebih kurang jam 9.15 pagi Hazman dan Faizal sampai semula ke astaka bersiap sedia untuk pertandingan tersebut. Juruacara meminta semua petugas dan hakim untuk mengambil tempat masing-masing di tempat pelancaran kerana pertandingan akan bermula bila-bila masa saja. Tepat jam 9.30 pagi pertandingan bermula. Selepas undian dibuat pasukan sekolah aku adalah pasukan yang mendapat giliran kelima. Apabila tiba kegiliran pasukan sekolah aku, Hazman dan Faizal pun melepaskan roket mereka dan percubaan kali pertama ini agak tersasar dari sasaran yang sepatutnya. Aku memanggil mereka supaya membaiki kedudukan pelancar kerana kedudukan tapak pelancar tidak mendatar, agak condong sedikit. Selepas mereka membetulkan tapak pelancaran maka roket itu pun dilancarkan untuk cubaan kali kedua. Percubaan kedua ini lebih baik dari percubaan pertama. Selepas diukur oleh para petugas jarak antara roket mendarat adalah 0.08 m dari sasaran. Ini merupakan keputusan yang terbaik setakat ini dalam kejohanan tersebut. “Sekarang tumpukan perhatian untuk kategori kedua pula iaitu kategori paracute,” aku berkata kepada Hazman. Sebaik sahaja aku berkata demikian tiba-tiba pandangan aku kabur dan aku terus terjatuh tidak sedarkan diri.
“Abang, abang aku terdengar sayup-sayup seseorang memanggilku. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mataku bertanya kepada orang di sekelilingku. Saya dimana ni? Saya dimana ni?” “Di hospital , dalam wad” jawab seseorang ditepi katilku. Apabila aku membuka mata sepenuhnya aku menyedari yang menjawab tadi adalah isteri aku yang telah lama berada disisi katilku. Isteriku memberitahu aku yang aku telah tidak sedarkan diri sejak tengahari tadi lagi di padang sekolah tempat pertandingan pelancaran roket air. Aku terus dibawa ke hospital oleh rakan-rakan sekolah aku. Kemudian seorang jururawat datang setelah mengetahui bahawa aku telah sedarkan diri. “Berapakah lama saya tidak sedarkan diri”? “Apa sakit saya”? tanya ku kepada jururawat itu. “Encik tidak sedarkan diri selama 4 jam sejak dimasukkan ke dalam wad ini”. “Tunggu sekejap” kata jururawat itu. “Saya hendak panggil doktor yang bertugas”. “Jangan bimbang cikgu tidak ada apa-apa penyakit yang kronik”, kata doktor yang bertugas sebaik sahaja menghampiri aku. “Cikgu hanya tidak cukup rehat dan terlalu penat sahaja.”tambahnya lagi. Kemudian baru aku teringat sejak aku menerima surat pertandingan roket air itu hingga ke hari pertandingan cuma beberapa jam sahaja aku tidur.
“Assalamualaikum cikgu” aku terdengar seseorang memberikan salam kepadaku. Aku menjawab salam itu dan bila apabila aku menoleh aku melihat pengetua aku datang menziarah aku. “Tahniah cikgu” sambung beliau. “Pasukan roket air cikgu berjaya menjadi juara peringkat negeri pada tahun ini. Hadiah utamanya agak lumayan iaitu sebuah teleskop. “ Alhamdulillah “ jawab ku . Tak sia-sia juga usaha Hazman dan Faizal walaupun dalam ruang masa yang terbatas. Inilah berkat kegigihan dan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pelajarku. “ Mana Hazman dan Faizal?” tanya ku kepada Penolong Kanan HEM yang juga datang bersama Pengetua tadi. “Mereka sedang tidur di asrama selepas kejohanan itu. Mungkin juga mereka keletihan selepas kejohanan tadi.”. Aku terkenang semua yang berlaku selama empat hari itu. Aku terbayang Mohd. Hanif, Hazman, Faizal ,pelajar-pelajar lain yang terlibat dan juga tak lupa Ismail pekerja sekolah yang tidak merungut untuk menolongku di dinihari malam. Inilah balasannya tuhan diatas semua kerja yang gigih dan ikhlas. Aku bersyukur kepada mu tuhan.Aku tersenyum puas.

1 comment:

cikgu sue said...

tahniah cgu bob...berkat kesabaran dan kegigihan cgu dan 2 ank didik itu...