PENGGUNAAN TEORI KONSTRUKTIVISME DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN FIZIK
Oleh : Burhan Bin Ramli
Pengenalan
Pendekatan penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Menurut Arif Sukardi (1987) teori pembelajaran memainkan peranan yang penting kepada guru kerana menerusi teori-teori ini guru akan memahami proses pembelajaran yang berlaku di dalam diri pelajar, memahami faktor yang mempengaruhi dan mempercepatkan proses pembelajaran para pelajar. Selain itu guru akan dapat membuat ramalan yang tepat tentang hasil yang diharapkan dari proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu salah satu teori yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah teori konstruktivisme. Teori ini pada umumnya adalah merupakan pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia.
Definisi Teori Konstruktivisme
McBrien & Brandt (1997) menyatakan konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya menerima pengetahuan daripada orang lain.
Briner,M., (1999) pula menyebut pelajar membina sendiri pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.
Menurut Brooks & Brooks (1993), teori konstruktivisme menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka, maka mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya secocok dengan peraturan yang mereka telah bentuk atau mereka akan menyesuaikan peraturan mereka agar dapat menerangkan maklumat baru ini dengan lebih baik.
Sushkin,N (1999), pula menyatakan bahawa dalam teori konstruktivisme penekanan diberikan lebih kepada pelajar berbanding kepada guru. Ini adalah kerana pelajarlah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pelajar membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Autonomi dan inisiatif pelajar hendaklah diterima dan digalakkan.Nik Aziz Nik Pa (1999), menyebut konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang di terima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih.
Berdasarkan pandangan-pandangan di atas maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan sebagai satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Implikasi dari teori ini adalah pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar. Pengetahuan yang dipunyai oleh pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Guru pula berperanan sebagai fasilitator yang membantu pelajar membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru. Guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Seterusnya ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme adalah mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh pelajar, menggalakkan pelajar bertanya dan berdialog dengan pelajar lain dan gurunya, menggalakkan proses inkuiri pelajar melalui kajian dan eksperimen, memberi peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan pelajar dengan situasi dunia yang sebenar,mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana pelajar belajar sesuatu idea, menyokong pembelajaran secara koperatif, menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran, menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi pelajar dan akhirnya menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan oleh pelajar yang digunakan sebagai panduan merancang pengajaran.
Bagaimana Penggunaan Teori Konstruktivisme dalam pengajaran guru memberikan kesan ke atas pembelajaran pelajar.
Untuk melihat bagaimana penggunaan teori ini digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar , model Konstruktivisme 5 Fasa Needham digunakan. Needham (1987) menyatakan dalam model ini pelajar digalakkan bertukar-tukar fikiran melalui fasa pencetusan idea. Fasa ini juga dapat merangsang pelajar meninjau semula idea asal mereka. Dalam fasa penstrukturan semua idea, guru digalakkan merancang aktiviti yang sesuai untuk membantu pelajar mengubah idea asal mereka. Pelajar diberi peluang untk mencabar idea asal sendiri dan juga idea rakan-rakan mereka. Adalah dipercayai idea baru yang dibina oleh pelajar sendiri biasanya lebih mudah diterima oleh mereka jika sekiranya idea ini mudah difahami dan berguna. Dalam fasa penggunaan idea, pelajar boleh menggunakan idea baru mereka untuk menyelesaikan masalah dan menerangkan fenomena yang berkaitan dengan idea-idea itu. Fasa renungan kembali merupakan fasa terakhir. Dalam fasa ini pelajar membandingkan idea asal mereka dengan idea baru dan merenung kembali proses pembelajaran yang telah mengakibatkan perubahan ke atas idea mereka. Fasa ini juga dapat memperkembangkan kemahiran meta kognitif.
5 fasa yang dinyatakan diatas adalah :
(i) Fasa orientasi: (Engage)
Fasa ini bertujuan untuk menarik perhatian dan minat pelajar serta memotivasikan pelajar agar mereka terus berminat dalam pengajaran yang berlangsung. Antara contoh aktiviti yang boleh dijalankan dalam fasa ini adalah dengan membuat tunjukcara atau demontrasi oleh guru, membuat tayangan filem, membuat tayangan video, memberikan alam keratan akhbar kepada pelajar dan juga mengemukakan soalan-soalan yang boleh menjanakan perasaan ingin tahu kepada pelajar-pelajarnya. Kesan terhadap pembelajaran pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih berfikir dan lebih seronok dengan aktiviti yang telah dijalankan dalam bilik darjah.
(ii) Fasa Pencetusan idea: (Explore)
Dalam fasa ini, guru-guru mengenalpasti kerangka alternatif pelajar. Idea-idea pelajar yang terdahulu akan dikenalpasti melalui soalan-soalan yang diajukan untuk mendorong mereka berfikir mengapa idea mereka tidak selari dengan idea saintifik. Soal jawab yang mendorong pemikiran boleh dijalankan oleh guru. Guru boleh menggunakan kaedah inkuiri untuk menyelongkar dan menyiasat melalui kaedah eksperimen. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan adalah membuat amali, perbincangan dalam kumpulan kecil, pemetaan konsep dan laporan. Kesan kepada pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih berfikir, seronok dan lebih berkemahiran sosial. Pelajar lebih berfikir kerana dalam membina pengetahuan baru pelajar akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinanan. Ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan. Pelajar lebih seronok kerana mereka sendiri yang membina pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini akan menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Pelajar juga adalah lebih berkemahiran sosial kerana boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan mereka dan guru dalam membina pengetahuan.
(iii) Fasa Penstrukturan Semula idea : (Explain)
Dalam fasa ini, pelajar berpeluang untuk mengubahsuai kerangka alternatif kepada idea saintifik. Idea-idea baru akan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang sesuai dengan kecerdasan pelajar. Penerangan beserta dengan aktiviti yang sesuai dengan kecerdasan masing-masing akan digunakan untuk membantu membentuk konsep yang baru ini. Pelajar akan dapat membuat definisi, menerangkan konsep, menyoal tentang penerangan lanjutan dan meminta justifikasi serta penjelasan. Contoh aktiviti adalah perbincangan dalam kumpulan kecil dan membuat laporan. Kesan keatas pembelajaran pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih yakin dan berani mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Pelajar mempunyai banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutama melalui perbincangan dalam kumpulan.
(iv) Fasa Aplikasi idea: (Elaborate)
Fasa ini bertujuan untuk mengenalpasti idea yang baru diubahsuai atau dibina dalam fasa penstrukturan semula idea dapat diaplikasi dalam situasi yang baru. Konsep yang telah dibina di kaitkan dan dikembangkan di dalam bidang yang lain atau di dalam dunia sebenarnya. Contoh aktiviti adalah penulisan sendiri kerja projek oleh pelajar. Kesan keatas pembelajaran pelajar adalah pelajar lebih faham dan ingat. Kefahaman pelajar tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang pelajar yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru. Setelah memahami sesuatu konsep, pelajar akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.
(v) Fasa Refleksi (Evaluate)
Fasa ini bertujuan untuk menilai kefahaman murid dan menilai sama idea terdahulu telah berubah. Contoh aktiviti adalah membuat penyoalan kepada pelajar secara reflektif seperti menyoal mereka apakah yang mereka fikirkan, apakah bukti yang anda ada atau apakah yang anda tahu tentang sesuatu pekara itu. Kesan daripada fasa ini keatas pembelajaran pelajar adalah pelajar dapat menilai adakah mereka faham dan dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka.
Ahli-ahli konstruktif mencadangkan bahawa pelajar-pelajar membina pengalaman baru berdasarkan pengetahuan sedia ada. Pengetahuan sedia ada akan digunakan oleh pelajar untuk memberikan penjelasan berdasarkan pemerhatian mereka, makna akan dibina sendiri oleh individu dengan menambah atau mengubahsuai idea yang sedia ada (Driver,1983; Osborne& Freyberg, 1985; Scott,1987). Oleh itu guru perlu mengambilkira idea pelajar yang terdahulu dalam proses pengajaran. Guru perlu membina pengalaman yang dapat mencabar idea yang dimiliki pelajar untuk membantu mereka menstrukturkan semula idea yang baru. Konstruktivis juga percaya bahawa pelajar membina realiti mereka sendiri atau mentafsir realiti berasaskan persepsi pengalaman mereka. Setiap pelajar akan membentuk perwakilan pengetahuan ‘frame of reference’ mereka sendiri melalui pengalaman yang dialami (Johnson & Gott, 1996).
Contoh Pengajaran dan Pembelajaran Mengikut Model Konstruktivisme
5 Fasa Needham.
Untuk menjelaskan lagi bagaimanakah penggunaan teori konstruktivisme ini dalam pengajaran guru dapat memberikan kesan keatas pembelajaran pelajar diberikan satu contoh P&P bilik darjah bagi matapelajaran Fizik tingkatan empat.
Tajuk : Daya graviti
Objektif: Supaya pelajar dapat mendefinisi pecutan graviti, menentukan nilai pecutan graviti dan menentukan hubungan antara pecutan graviti dengan jisim.
Masa P&P: 80 minit
Pengetahuan sedia ada:
• Pelajar sudah dapat mendefinisikan halaju dan pecutan.
• Pelajar sudah dapat menghitung halaju dan pecutan
• Pelajar sudah belajar tentang daya geseran
Fasa Aktiviti:
Fasa orientasi: (Engage)
Pelajar ditunjukkan tayangan CD peristiwa gerakan sebiji kelapa bila terlepas dari tangkainya, gerakan sebiji bola yang ditendang bila jatuh kebumi, seketul batu jatuh dari puncak bukit, gerakan bulu ayam yang sedang jatuh dan gerakan seorang penerjun payung terjun yang terjun turun dari sebuah kapalterbang.
Aktiviti ini adalah untuk meransang perasaan ingin tahu pelajar tentang objek jatuh. Minat pelajar dapat dipupuk dengan tayangan CD kerana tayangan itu adalah gerakan sebenar dalam kehidupan harian. Seterusnya aktiviti ini dapat menjanakan minat pelajar untuk mengetahui dengan mendalam mengapa objek-objek itu jatuh ke bawah. Perasaan ingin tahu pelajar dapat dipupuk dengan tayangan CD tersebut sebab banyak persoalan yang dapat dijanakan dari gerakan objek semasa jatuh itu.
Fasa Pencetusan idea: (Explore)
Dari aktiviti diatas, pelajar-pelajar disoal:
a) Mengapa objek-objek itu jatuh ke bawah?
b) Apakah maksud halaju?
c) Apakah maksud pecutan?
d) Apakah rumus untuk menghitung halaju?
e) Bagaimanakah cara untuk menghitung pecutan?
f) Apakah yang terjadi kepada halaju buah kelapa dan batu semasa jatuh
menghampiri bumi?
g) Apakah terjadi kepada pecutan buah kelapa dan batu itu?
h) Apa yang terjadi kepada halaju dan pecutan penerjun yang menggunakan payung
terjun itu?
i) Apa yang terjadi kepada halaju dan pecutan bulu ayam itu?
Pelajar dipecahkan kepada enam kumpulan kecil dan diminta membuat satu eksperimen untuk menentukan pecutan jasad yang jatuh ke arah pusat bumi tersebut. Dalam eksperimen ini pelajar juga diminta untuk menentukan nilai pecutan graviti dan hubungan antara pecutan graviti dengan jisim jasad. Prosedur asas aktiviti eksperimen perlu dipatuhi oleh pelajar iaitu merancang, menjalankan eksperimen dan mengambil data.
Aktiviti ini adalah untuk mengcungkil jawapan kepada perasaan ingin tahu para pelajar tentang gerakan objek dalam medan graviti dengan cara memberikan soalan-soalan inkuiri dan kemudian meminta mereka menjalankan eksperimen. Hasil dapatan ujikaji ini pelajar akan dapat menentukan adakah idea dan pengetahuan sedia ada mereka selari atau tidak dengan dapatan baru itu dari eksperimen itu. Kesan kepada pelajar adalah mereka akan merasa seronok untuk mendapat pengetahuan kerana mereka sendiri yang mencari jawapan dan bukti kepada pengetahuan asal mereka. Keyakinan pelajar akan lebih jelas lagi jika pengetahuan asal mereka sama dengan dapatan baru dari eksperimen itu.
Fasa Penstrukturan Semula idea : (Explain)
Pelajar-pelajar diminta membentangkan dapatan eksperimen mereka mengikut kumpulan masing-masing.
Pembentangan dibuat dengan menggunakan transparensi atau perisian ”powerpoint”. Selepas pembentangan oleh sesebuah kumpulan ,kumpulan lain diminta untuk memberikan komen dan pandangan mereka tentang gerakerja dan hasil eksperimen kumpulan tersebut.
Selepas selesai setiap kumpulan membentang hasil dapatan mereka, guru meminta pelajar membuat definisi pecutan graviti, nilai pecutan graviti, pengaruh jisim terhadap pecutan graviti, makna medan graviti dan daya graviti. Akhirnya pelajar-pelajar diminta untuk menyiapkan laporan eksperimen tersebut mengikut format yang telah diberikan sebelum ini. Satu kesan yang dapat dilihat dari aktiviti ini adalah pelajar lebih yakin dan berani untuk menyampaikan hasil dapatan mereka dan sentiasa berbincang dalam kumpulan untuk mendapat sesuatu keputusan yang dipersetujui bersama. Mereka lebih berani untuk membuat hipotesis dan bernai juga mencabar hipotesis kumpulan lain jika tidak sama dengan kumpulan mereka.
Fasa Aplikasi idea: (Elaborate)
Pelajar ditunjukkan satu eksperimen maya dari komputer iaitu ”Graviti experiment by Galileo”. Dalam eksperimen maya ini Galileo berada di atas sebuah bangunan pencakar langit. Beliau menjalankan 3 aktiviti iaitu:
i) menjatuhkan dua ketul batu yang berlainan saiznya ke bawah secara serentak .
ii) Kemudian beliau menjatuhkan pula seketul batu dan sehelai bulu ayam dari ketinggian yang sama secara serentak juga.
iii) Akhir sekali bangunan dan Galileo di vakumkan dan sekali lagi beliau menjatuhkan batu dan bulu ayam serentak.
Dari tayangan itu pelajar-pelajar di soal:
a) Batu mana yang sampai ke permukaan bumi terlebih dulu?
b) Antara bulu ayam dan batu yang mana akan sampai ke bawah dulu?
c) Bila dalam vakum, yang mana akan sampai dulu?
d) Mengapakah kedua-dua batu sampai serentak ke permukaan bumi?
e) Mengapakah bulu ayam lambat sampai ke permukaan bumi berbanding batu?
f) Dalam vakum mengapa bulu ayam dan batu sampai serentak?
Guru kemudiannya meminta pelajar untuk menjelaskan kejadian lif putus dan satelit jatuh semasa mengorbit bumi dengan menggunakan konsep graviti.
Aktiviti ini adalah untuk menentukan bahawa pengetahuan
tentang graviti dapat diaplikasikan dalam situasi baru iaitu dari eksperimen maya Galileo, kejadian lif putus dan satelit jatuh semasa mengorbit bumi. Di sini pelajar akan dapat menggunakan kefahaman mereka tentang graviti bagi menjelaskan sebab kepada fenomena yang terjadi. Selain kefahaman pelajar bertambah mereka akan mengingati konsep graviti ini dengan lebih lama lagi.
Fasa Refleksi (Evaluate)
Guru mengedarkan soalan-soalan kuiz pendek untuk dijawab oleh pelajar selama 10 minit.
Guru seterusnya meminta pelajar membuat satu peta konsep tentang apa yang telah dipelajari hari itu.
Aktiviti ini adalah untuk menilai kefahaman para pelajar tentang konsep graviti.
Rumusan
Dari huraian di atas dapat dirumuskan bahawa konstruktivisme adalah satu daripada teori pembelajaran yang pada asasnya merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan sedia ada disusun semula dalam minda pelajar untuk membentuk pengetahuan baru. Melalui pembelajaran secara konstruktivisme, pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif daripada persekitarannya. Pelajar membina pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing dan pengetahuan sedia ada mereka. Ini menjadikan pelajar lebih seronok dan berminat untuk belajar kerana pengetahuan yang dibina adalah hasil usaha pelajar sendiri. Selain itu untuk memastikan proses pertukaran idea berlaku pada tahap optimum, gaya pengajaran guru perlulah setara dengan gaya pembelajaran yang terdapat pada setiap pelajar untuk memastikan mereka terus
termotivasi untuk mengikuti pengajaran yang disampaikan. Bagi menunjukkan bagaimana teori konstruktivisme ini dapat digunakan keatas pengajaran guru dan memberikan kesan kepada pembelajaran pelajar, maka model 5 fasa Needham digunakan. Model ini menggunakan lima fasa dalam proses P&P iaitu fasa orientasi (Engage) , fasa pencetusan idea (explore), fasa penstrukturan semula idea (Explain), fasa aplikasi idea (Elaborate) dan fasa refleksi (Evaluate).
Kelima-lima fasa ini perlulah diikuti dengan sistematik oleh guru untuk mendapat keberkesanan yang tinggi. Secara ringkasnya fasa pertama adalah untuk meransang perasaan ingin tahu pelajar dengan melakukan aktiviti seperti demonstrasi oleh guru , tayangan video atau penyoalan oleh guru. Fasa ini juga bertujuan untuk menjana minat para pelajar dalam proses P&P mereka. Fasa kedua adalah untuk mencetuskan idea supaya pelajar sedar tentang idea dulu melaui amali ,perbincangan, pemetaaan konsep dan laporan. Fasa ini dapat menggalakkan pelajar bekerjasama, guna pendekatan inkuiri, menyiasat melalui eksperimen dan selalu bertanya. Fasa ketiga adalah untuk menstruktur semula idea-idea asal kerana idea asal mungkin perlu diubahsuai, di ganti dengan idea yang lebih saintifik atau dikembangkan. Fasa keempat adalah fasa aplikasi atau penggunaan idea dimana idea yang telah dibina dikukuhkan dalam situasi baru. Fasa terakhir adalah fasa refleksi dimana pelajar dapat membuat penilaian sejauh mana idea asal telah berubah dan setakat mana idea baru betul.
Dengan mengikuti kesemua fasa ini maka kesan yang dapat terhasil dikalangan pelajar adalah pelajar akan lebih seronok kerana mereka bina sendiri pengetahuan, pelajar mempunyai kemahiran sosial yang tinggi kerana saling berinteraksi sesama mereka dalam membuat aktiviti untuk mencari pengetahuan baru, pelajar mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana diberi peluang bina sendiri kefahaman, pelajar lebih mengingati sesuatu konsep lebih lama lagi kerana mereka terlibat secara aktif dalam proses P&P, pelajar lebih faham kerana dapatan pengetahuan adalah hasil karya mereka sendiri dengan bantuan guru, pelajar lebih berfikir kerana untuk bina pengetahuan baru mereka perlu menjana idea, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Bibliografi
Arif Sukardi. 1987.Prinsip-prinsip (teori) Pembelajaran.
http:// www.Ut, Ac Id/OI Supp/Fkip/Pgsm3803/. (20 Dis 2000)
Briner, M .(1999). [Online]Available :
http:// carbon.cudender.edu/ mryder/itc data/constructivism.html
Brooks,J.G. & Books,M.G. (1993). In Search Of Understanding: The case For Constructivist Classrooms. Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Developtment (ASCD)
Driver,R. (1983). ” The Pupil as Scientist?” Milton Keynes: Open University Press
Johnson,P.,& Gott,R.(1996).” Constructivism and Evidence From Children’s Ideas.” Science Education. 80.561-577. Dalam kertas kerja Rio Sumarni Sharifuddin & Tang Howe Eng “Effectiveness of Condiff as a Cognitive Tools for the Learning of Differentiation.” Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan, UKM, 2002.
McBrien, J.L & Brandt,R.S. (1997). The Language of Learning: A Guide to Education Terms. Alexandria, VA. Association for supervision and Curriculum Developtment.
Nik Aziz Nik Pa (1999). Pendekatan Konstruktivisme Radikal Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Needham,R. (1987). ”Teaching Strategies for Developing Understanding in Science.” Leeds, Children’s Learning in Science Project, University of Leeds.
Osborne,R., & Freyberg,P. (1985). Learning in Science.” Auckland, Heinemann.
Pusat Perkembangan Kurikulum. 1991. Pembelajaran secara Konstruktivisme. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sushkin,N.(1999).[Online] Avalaible:
http://carbon.cudenver.edu/ mryder/itc data/ constructivism.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Salam...
idea-idea yang diketengahkan dalam blog sangat menarik untuk panduan dalam P&P...
terima kasih cikgu..saya dapat gunakan bahan ini sebagai rujukan saya dalam pembelajaran-guru pelatih IPG KKB
assalamualaikum...terima kasih cikgu untuk maklumat ini.. banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan dan sebagai panduan semasa menjadi guru kelak.
Syabas dan tahniah kerana cikgu telah dapat menuliskan satu contoh rancangan mengajar berasaskan konstruktivisme. Dalam pelajaran Sains memang banyak contoh yang dapat dicari. Dari kefahaman saya, konsep konstruktivisme dalam RM cikgu ini ialah dari segi 'murid aktif menjalankan pembelajaran sendiri, sementara guru hanya sebagai fasilatator'. Saya berbangga kalau semua guru sains menggunakan kaedah begini di mana yang sesuai.
Izinkan saya menyentuh tentang elaborate dalam RM cikgu. Setahu saya, elaborate dijalankan dengan cara:
Meluaskan konsep ke dalam bidang-bidang lain;
Membuat perkaitan dan melihat hubungan antara konsep/topik dalam bidang-bidang ilmu yang lain; dan/atau
Membuat perkaitan konsep/topik dengan situasi dunia sebenar.
Sehubungan ini saya agak kurang jelas cikgu punya elaborate seperti yang cikgu catatkan di bawah:
Aktiviti ini adalah untuk menentukan bahawa pengetahuan
tentang graviti dapat diaplikasikan dalam situasi baru iaitu dari eksperimen maya Galileo, kejadian lif putus dan satelit jatuh semasa mengorbit bumi. Di sini pelajar akan dapat menggunakan kefahaman mereka tentang graviti bagi menjelaskan sebab kepada fenomena yang terjadi. Selain kefahaman pelajar bertambah mereka akan mengingati konsep graviti ini dengan lebih lama lagi.
Bagi saya elaborate cikgu masih berada dalam sekitaran topik pelajaran. Sebaiknya, elaborate harus membawa murid-murid keluar dari isi pelajaran, dan masuk ke dalam satu situasi atau bidang lain.
Contohnya lift tadi, lebih baik kalau dinyatakan tentang apakah bahan yang sesuai untuk membuat lift selain logam bagi mengurangkan jisimnya. Ini akan membuka minda mereka ke dalam situasi baru. Saya percaya ini tidak ada dalam sukatan pelajaran.
Atau saya cadangkan, cikgu kaitkan dengan matapelajaran Agama, misalnya konsep kuasa Allah mencipta graviti, momentum dsb. Saya yakin cikgu lebih arif lagi.
Sekadar pandangan sahaja. Moga respond cikgu nanti akan mempertingkatkan kefahaman saya tentang konstruktivisme. Terima kasih dan maaf. Selamat Hari Raya.
bolehkah cikgu beri penjelasan secara terperinci tentang kelebihan model konstruktivisme lima fasa needham berbanding model konstruktivisme lain?
- kenapa model needham lebih baik ?
apa baik model ini...
kalau boleh berikan sokongan dan bibliografi sekali..
terima kasih
email terus kpd saya pon Ok..
siam1318@yahoo.com
cikgu Bob,
Boleh cikgu jelaskan maksud soalan "Huraikan dengan ringkas aktiviti fasa 2 menggunakan kaedah inkuiri terbimbing yang tidak melibatkan penyiasatan perhubungan antara pembolehubah".terima kasih cikgu
emel saya.Fadilanapi@gmail.com
idea dlm fizik ini amat bermakna dlm P& p...blh juga digunakan utk subjek sains lain..tima kasih atas perkongsian pendpt ini ckgu..
Semoga bahan yang cikgu telah sebarkan ini akan memberikan manafaat kepada banyak pihak yang amat memerlukannya pada masa yang mereka kehendaki.Amin ya Rabbal Alamin.TQ
terima kasih , saya cikgu sekolah rendah. inginkan bantuan cikgu dalam menyediakan tugasan matematik.tajuk ialah membuat essei tentang teori konstritivisme dengan menggunakan model sebahagian- keseluruhan serta model mengenalpasti pola.
Post a Comment